Hiburan
#ThrowbackGempak2018: Ini 10 Kontroversi Terhangat Sepanjang Tahun, Haqiem Rusli Paling Banyak
Beberapa hari lagi tahun 2018 bakal melabuhkan tirainya.
Sudah pasti pelbagai cerita, ragam dan kontroversi tercetus dalam dunia hiburan Malaysia sepanjang tahun ini.
Gempak menyingkap kembali 10 kontroversi paling hangat sepanjang 2018:
1.Datuk Farid Kamil Tampar Polis, Tendang Orang Awam, Didakwa Dadah
Awal tahun ini, peminat dikejutkan dengan berita penahanan pelakon terkemuka, Datuk Farid Kamil.
Farid ditangkap kerana kesalahan merusuh, berkelakuan tidak senonoh dan menyerang serta mencederakan anggota polis yang sedang menjalankan tugas.
Farid kemudiannya disahkan positif dadah jenis ganja selepas didakwa menampar seorang anggota polis di kaunter aduan Balai Polis Cawangan Trafik, Kota Damansara.
Farid bagaimanapun membuat laporan polis selepas mendakwa dirinya dianiaya tiga rakan artis yang mencemarkan minumannya dengan dadah sehingga berkelakuan ganas di Balai Polis.
2.Uqasha Senrose Ditahan Dadah Jenis Erimin 5 Dalam Beg Tangan
Nama pelakon cantik, Uqasha Senrose kembali menjadi perhatian tahun ini selepas ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis Erimin 5.
Uqasha juga didakwa berada dalam keadaan khayal semasa ditahan pihak polis.
Terdahulu media melaporkan seorang pelakon wanita popular ditahan polis selepas disyaki memiliki enam bungkusan aluminium berisi 53 pil Erimin 5 di dalam beg tangan miliknya.
Dadah itu ditemui apabila pelakon jelita berusia 26 tahun itu dibawa ke Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI), selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Burhanuddin Helmi.
3.Haqiem Rusli, Masalah Attitude, Depresi Dan Gimik
Sekitar Jun tahun ini, penyanyi Haqiem Rusli mendedahkan mengalami depresi sejak awal tahun dan pelbagai masalah sampingan lain menyebabkan dia mengambil keputusan untuk berehat seketika.
Bagaimanapun pada Julai, Haqiem akhirnya membuat keputusan untuk kekal dalam industri hiburan sebagai penyanyi.
Haqiem juga kemudian memberitahu dia akan melancarkan sebuah lagu yang telah dirakamkannya dua bulan lalu bersama muzik video.
Hal tersebut mencetuskan kemarahan netizen dan mendakwa Haqiem mempermainkan isu kemurungan semata-mata untuk melakukan gimik.
Bagaimanapun Haqiem menegaskan dia tidak menipu mengenai masalah kemurungan yang dialami dalam satu sidang media khas.
Tidak cukup dengan itu, nama Haqiem sekali lagi menjadi panas apabila tindakannya yang naik ke pentas merampas microfon daripada seorang peserta rancangan realiti hiburan dianggap tidak profesional.
BACA: Buat Hal Lagi! Haqiem Rusli Rampas Mikrofon Peserta Rancangan Realiti Gara-Gara Nyanyi Sumbang
Sekitar Disember, Haqiem kembali menjadi sebutan apabila penyanyi itu memakai kaca mata hitam dan 'airpods' ketika berkunjung ke rumah seorang asnaf di Rawang, Selangor yang dikenali sebagai Abang Zul.
Rata-rata netizen berpendapat penampilan Haqiem tidak kena dengan acara yang dihadirinya.
4.Zul Ariffin Putus Cinta, Foto Alat Sulit Dan Gadis Ukraine
Sekitar April lalu, pelakon Zul Ariffin mengesahkan ikatan cinta antara dirinya dan aktres Zahirah Macwilson, 23, telah bernoktah lebih sebulan lalu.
Zul berkata dia tidak kecewa dengan perpisahan yang berlaku sebaliknya berasa menyampah dengan tindakan Zahirah yang didakwa berselfie kira-kira 20 meter dari jenazah arwah ibunya.
Selepas kecoh kisah putus cinta dengan Zahirah, netizen di media sosial dikejutkan pula dengan foto alat sulit lelaki di Instagram Story Zul Ariffin.
Bagaimanapun, foto yang dimuat naik kira-kira pukul 8 malam itu telah dipadam sekitar dua minit kemudian.
Zul Ariffin bagaimanapun menafikan gambar alat sulit yang dimuat naik di Instagram Story akaun peribadinya itu miliknya.
Sekitar awal Julai lalu, tular pula beberapa keping foto dipercayai milik Zul Ariffin bersama seorang gadis warganegara asing di Phuket.
Lebih mencurigakan apabila foto-foto yang dimuat naik oleh Zul dan gadis Ukraine, Tanya Glembotska itu kebetulan berada di lokasi sama pada tempoh masa sama.
Menjelaskan keadaan, Zul memberitahu dia mengenali wanita terbabit ketika menjalani latihan seni mempertahankan diri bersama jurulatih antarabangsa di sana.
5.Fatiya Latif, Zarina Anjoulie Dan Ismail Izzani
Sekitar September menerusi entri di Instagram, pelakon Fathia Latif memuat naik sekeping foto Aiman Hakim dan mendakwa tidak membayar hutang serta menggelarkan aktor itu dayus.
Tidak berdiam diri, Aiman membidas dakwaan yang dilakukan oleh bekas kekasihnya itu.
BACA: "Aku Tak Pernah Hutang Dengan Siapa-Siapa" - Aiman Hakim Buka Mulut, Bidas Dakwaan Fathia Latiff
Keadaan menjadi semakin tegang apabila kawan baik Fathia, Zarina Anjoulie pula tampil menunjukkan bukti perbualan Whatsapp antara Fathia dan Aiman berhubung isu hutang.
Namun lain pula kesnya dengan Zarina apabila namanya panas selepas foto mesranya seperti dipeluk oleh penyanyi Ismail Izzani tersebar.
Foto itu menjadi perhatian selepas Fathia Latiff menerusi Instagramnya meminta penyanyi lagu Luar Biasa itu menghubungi pelakon drama Anak Pontianak tersebut.
Bagaimanapun, Fathia bertindak memadam gambar tersebut tidak lama kemudian selepas pengikutnya menghentam Zarina yang berpakaian seksi dalam foto berkenaan.
6.Neelofa Lancar Hijab Di Zouk
Tahun ini nama pelakon cantik, Neelofa hangat diperkatakan selepas memilih pusat hiburan sebagi lokasi majlis pelancaran koleksi hijab terbaru serta sambutan hari jadinya awal penghujung Februari lalu.
Bagaimanapun, Neelofa tampil menjelaskan pusat hiburan itu hanya dijadikan tempat mengadakan majlisnya sahaja tanpa melibatkan aktiviti yang tidak bermoral.
Rentetan kontroversi yang timbul, pihak Neelofa mengambil langkah segera untuk membetulkan situasi.
Kenyataan media permohonan maaf tersebut dibuat oleh Pengarah Urusan NH Prima International Sdn Bhd, Noor Nabila Mohd Noor yang mewakili Naelofar Hijab.
7.Video Lucah Syafiq Kyle
Sekitar Mei lalu, kecoh di media sosial apabila video lucah milik lelaki mirip pelakon, Syafiq Kyle yang tular dijual pada harga RM20 di laman Twitter.
Rata-rata peminat Syafiq mengakui terkejut selepas melihat video yang wajah lelaki itu hampir serupa dengannya dan mereka meluahkan rasa tidak percaya.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai kesahihan video tersebut, Syafiq tidak mengiyakan atau tidak menidakkan dakwaan terbabit.
8.Sufian Suhaimi, Elfira Loy Putus Tunang
Berita putus tunang penyanyi Sufian Suhaimi dan aktres Elfira Loy ternyata hangat diperkatakan netizen.
Spekulasi ikatan pasangan ini goyah mula diperkatakan sejak Disember lalu apabila mereka tidak lagi memuat naik gambar bersama di laman sosial.
Namun segalanya terjawab selepas ibu Elfira mengesahkan pasangan yang bertunang pada 6 Oktober 2017 itu putus tunang.
Selepas putus tunang, Sufian muncul dengan lagu hit berjudul Terasa Ada. Bagaimanapun Sufian menegaskan lagu berkenaan tiada kaitan dengan kehidupan peribadi, namun peristiwa yang berlaku sepanjang tahun 'menambah rasa' dan menjadikan impak Di Matamu lebih besar.
9.Zaihani, Isu Body Shaming,’ Berat 60 Kg Dan Peha Melimpah
Kenyataan pengkritik dan pengulas fesyen tempatan, Zaihani Mohd Zain menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap tetamu berbadan besar yang hadir ke acara pertunjukan fesyen benar-benar mencetus kemarahan netizen.
Bukan hanya netizen tempatan bahkan isu ini menarik perhatian media antarabangsa.
Zaihani yang tular di laman sosial menasihati individu yang memiliki berat badan melebihi 60 kilogram tidak sepatutnya menghadiri acara sedemikian.
Zaihani kemudiannya menjelaskan status entri Facebooknya yang tular di media sosial tidak ditujukan kepada sesiapa.
Sebaliknya menegaskan dia sekadar menyatakan keluhan tentang perkara yang terjadi kepadanya pada pertunjukan fesyen tersebut.
Susulan isu kenyataan Zaihani yang dianggap menghina itu, netizen mendesak supaya pengkritik fesyen tersebut membuat permohonan maaf secara terbuka.
Enggan memanjangkan isu terbabit, Zaihani Zain tampil membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kenyataan berhubung isu body shaming yang tular dan memohon agar statusnya tidak disalahertikan.
10. Keputusan Mengejut Izzue Keluar Forteen
Penyanyi Izzue Islam mengejutkan peminat apabila mengumumkan pengundurannya daripada Forteen pada segmen karpet merah final Gegar Vaganza musim kelima (GV5) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sekitar November lalu.
Izzue memberitahu keputusan menarik diri daripada kumpulan Forteen tiada kaitan dengan kegagalan mereka untuk melayakkan diri ke peringkat akhir Gegar Vaganza 5.
Sebaliknya, keputusan itu dibuat kerana sudah tiada persefahaman antara ahli kumpulan lain.
Dalam satu kenyataan lain, Forteen bagaimanapun menafikan dakwaan Izzue dipulaukan oleh anggota lain sehingga mengambil keputusan untuk menarik diri daripada kumpulan itu.
Namun, kemelut antara Izzue dan Forteen nampaknya berakhir selepas mereka bersemuka. Izzue melahirkan rasa syukur kerana perselisihan faham itu diselesaikan segera dan pada masa sama lega dapat merungkai beberapa persoalan mengenai rasa tidak puas hatinya tempoh hari.
Bagaimanapun, Izzue tetap dengan pendiriannya untuk tidak lagi bersama dengan kumpulan itu.