BERITA
#ThrowbackGempak2018 : Ini 10 Lagu Hits Sepanjang Tahun
Tahun 2018 bakal melabuhkan tirai, sudah semestinya industri muzik tempatan telah diwarnai dengan kemunculan lagu-lagu hits yang digemari ramai.
Di sini, Gempak bawakan 10 lagu paling hits pilihan kami sepanjang tahun 2018.
1. Ragaman - Faizal Tahir
Faizal Tahir menonjolkan kelainan apabila tampil menyanyikan lagu bergenre reggae yang diberi judul Ragaman. Faizal telah berjaya membuktikan dia mampu keluar dari 'comfort zone' dan berjaya memukau peminat dengan taruhan terbarunya ini. Tontonan muzik video Ragaman telah mencecah 13 juta selepas dua bulan ditayangkan di YouTube. Setakat ini, lagu ini juga masih menjuarai Carta Era 40.
2. Rampas - Akim & The Majistret
Taruhan terbaru Akim & The Majistret ini berjaya meraih undian tinggi yang membuatkan mereka menduduki tempat kedua di Carta Era 40. Manakala di YouTube, tontonan muzik video lagu ini telah mencecah 1.4 juta dalam masa tiga bulan ditayangkan.
3. Anta Permana - Datuk Seri Siti Nurhaliza
Buah tangan dari penyanyi nombor satu negara ini telah mendapat sambutan hangat dari peminatnya. Anta Permana adalah sebuah lagu Qasidah yang disuntik sedikit elemen moden untuk penyesuaian masa kini. Ramai juga artis lain yang memuat naik video Qasidah Challenge menyanyikan lagu ini di media sosial. Tontonan muzik video lagu ini telah mencecah 8.1 juta selepas dua bulan ditayangkan di YouTube. Selain itu, lagu ini turut berada dalam kedudukan tiga tertinggi di Carta Era 40 untuk minggu ini.
4. Sampai Bila - Misha Omar
Misha Omar kembali dengan lontaran vokal mantap menerusi lagu Sampai Bila. Video lirik lagu ini mencecah sembilan juta tontonan di YouTube selepas enam bulan berada di YouTube manakala muzik video rasmi yang baru dilancarkan sebulan lalu telah mencecah 700 ribu tontonan. Menduduki tangga keempat di Carta Era 40, lagu ini juga bakal menggegarkan pentas AJL 33.
5. Di Matamu - Sufian Suhaimi
Lagu ini mencetuskan kontroversi apabila ramai peminat menyangka Sufian menujukan kepada bekas kekasihnya, Elfira Loy. Namun perkara itu dinafikan olehnya sendiri dan mengatakan lirik tersebut telah siap ditulis sebelum perpisahannya dengan Elfira. Muzik video lagu ini telah mendapat 48 juta tontonan di YouTube selepas sembilan bulan ditayangkan.
6. Semakin - Siti Sarah
Seterusnya adalah lagu Semakin dari Siti Sarah. Lagu ini telah ditulis sendiri oleh suaminya Shuib dan turut layak ke pentas akhir AJL 33. video lirik Semakin telah mencecah 10 juta tontonan selepas tujuh bulan ditayangkan di YouTube.
7. Hikayat Benladin - Ben Ladin
Penyanyi rap muda berusia 17 tahun, Ben Ladin muncul dengan single ini. Ia merupakan ciptaan dari hasil kerjasama Malique bersama Dedeq. Muzik video Hikayat Benladin telah mencecah 19 juta tontonan selepas lima bulan ditayangkan di YouTube.
8. Amalina - Santesh
Lagu nyanyian Santesh ini telah menerima respon positif dari para pendengar. Bait-bait lirik lagu ini telah tular di laman sosial. Bukan itu sahaja, lagu ini telah berjaya menduduki kedudukan pertama dalam carta trending di YouTube apabila tontonannya mencecah 1.7 juta selepas seminggu ditayangkan.
9.Kisah Antara Kita - One Avenue Band
Lagu ini turut diminati oleh pencinta muzik tempatan. Setakat ini, ia masih berada di kedudukan nombor enam Carta Era 40 dan menerima tontonan sebanyak 24 juta selepas lima bulan ditayangkan di YouTube.
10. Temberang - Ayda Jebat
Akhir sekali, lagu Temberang dari Ayda Jebat ini telah memecah rekod apabila muzik videonya telah trending di YouTube kurang dari 48 jam ditayangkan di YoUTube. Muzik video ini mula ditayangkan pada 21 Disember baru-baru ini dan telah mendapat tontonan sebanyak 375 ribu dalam masa kurang dua hari selepas dilancarkan.
Selain 10 lagu di atas, antara lagu lain yang turut dapat perhatian ialah Hajat (Hael Hussaini), Luluh (Khai Bahar), Haram (Hael Husaini & Dayang Nurfaizah), Selamat Tinggal Sayang (Haqiem Rusli) dan Tak Pernah Hilang (Kaer & Amylea). Lagu apa dan siapakah penyanyi yang bakal menyerlah tahun hadapan? Mari kita sama-sama nantikan!