Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Tia Jinbara Hidap Kanser Hati, Isteri Jadi Penderma Perlu RM250 Ribu Untuk Pembedahan

Maliah Surip
08/11/2023 09:47 MYT
Berita mengenai bekas vokalis kumpulan Jinbara, Tia atau nama sebenar, Shamsul Bakhtiar Zakaria, menghidap barah hati baru-baru ini agak mengejutkan.

Hal itu lantaran sudah lama media tidak mendengar khabar daripada penyanyi lagu Farhana (Putri Bumi Kenyalang) tersebut.

Setelah disahkan menghidap barah hati, Tia yang merupakan bekas peserta Gegar Vaganza 4 kini dalam proses mendapatkan dana untuk membolehkan dia menjalani proses pembedahan hati.

Demi cinta, isteri yang juga pengurusnya, Suzan Ahmad akan menjadi penderma hati buat lelaki yang dinikahi sejak tahun 2009 tersebut.

Namun Tia, 53, berhadapan kekangan apabila memerlukan sekitar RM250, 000 untuk pembedahan yang mahu dijalankan di sebuah hospital di India.

“Memohon jasa baik para sahabat semua. Tia Jinbara menghiburkan kita.. Lagu Farhana terngiang di telinga…

“Beliau diuji dengan kanser hati dan memerlukan pembedahan hati... Penderma hati isteri beliau...demi cinta…

“Dengan ikhlas bantulah beliau dan keluarga untuk menjalani pembedahan ini di Medanta India secepat mungkin...

“Semoga Allah merahmati dan memberkati setiap penderma yang membantu,” demikian hebahan yang dikongsikan di media sosial.

Sebarang derma boleh disalurkan ke akaun Maybank Suzan Binti Ahmad (114123682233).

Terdahulu Suzan memaklumkan Tia ditahan di hospital selepas mengadu sakit perut.

“Selepas menjalani pelbagai pemeriksaan termasuk ujian imbasan sinar-X, kolonoskopi dan yang terakhir, CT Scan, barulah doktor sahkan ada ketumbuhan pada hati iaitu barah,” ujarnya.

BERITA TRENDING: Cabaran Terbesar Adalah Diri Sendiri - Tia Jinbara


#Kanser #Isteri #Hati #Tia Jinbara #Rock #Jinbara #Penderma
;