BERITA
Tiada DNA Asing Ditemui Di Dubur Zayn Rayyan - Pegawai Penyiasat
Pegawai penyiasat kes kehilangan Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen, Petaling Jaya pada Isnin bahawa, tiada asid deoksiribonukleik (DNA) asing ditemui di dubur kanak-kanak autistik itu.
Asisten Superintenden (ASP) Mohd Hafizee Ismail, 38, berkata demikian ketika perbicaraan kes pengabaian dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal membabitkan Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30.
Semasa membaca pernyataan saksi, pegawai polis yang berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak Januari 2013 berkata, dapatan berkenaan diperoleh berdasarkan laporan daripada Jabatan Kimia, yang dihantar pada 8 Disember 2023.
“Sampel yang dihantar iaitu spesimen tulang ‘sternum’ berpadanan dengan DNA milik Zayn Rayyan.
“Bagaimanapun, sampel calitan dari dubur si mati mendapati, tiada DNA asing dijumpai, kecuali DNA milik mangsa sahaja,” katanya yang ketika itu bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
Pegawai polis yang kini bertugas sebagai Pegawai Risikan Operasi di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan berkata, spesimen berkenaan dihantar selepas dimaklumkan, ada kesan kecederaan berunsur jenayah dialami kanak-kanak malang terbabit.
Menurutnya, pada 7 Disember 2013, beliau dimaklumkan, hasil bedah siasat awal ke atas mayat Zayn Rayyan mendapati ada kesan kecederaan koyakan baharu di dubur, dipercayai menggunakan objek tumpul.
Menurutnya, doktor yang membedah siasat Zayn Rayyan, Pakar Perubatan Perunding Forensik, Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan juga memberitahu ada juga kesan lebam di dahi, belakang badan, lengan, dada, pipi, mata, bibir dan rahang.
Katanya, ia termasuk luka telinga kiri, kesan seperti terhiris di lengan kanan, lebam jerutan di leher dan cebisan objek asing dalam ‘broncus’ serta perut mangsa.
“Doktor telah tunjukkan kepada saya keadaan telinga kiri Zayn Rayyan dalam keadaan seperti terkulai, lengan kanan si mati terdapat kesan toreh dan dubur si mati seperti terdapat kesan tusukan objek.
“Beliau juga telah mengesahkan punca kematian akibat kesan jerutan,” katanya.
Pada 8 April lalu, Dr Rohayu yang kini bertugas di jabatan sama di Hospital Pasir Gudang Johor berkata, kematian Zayn Rayyan bukan kes biasa tetapi dikategorikan sebagai ‘suspicious’ atau ‘homicide until proven otherwise’.
Dr Rohayu, 54, berkata, selepas meninjau lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan, di Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, beliau mendapati kecederaan kanak-kanak itu tidak selari dengan keadaan sekitar sungai berkenaan.
Susulan itu beliau menyimpulkan, kes berkenaan bukan mati kerana lemas, kerana ada kesan guntingan di telinga dan luka tajam di lengan.
Beliau berkata, punca kematian kanak-kanak autistik itu disebabkan jerutan di leher.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian pada anak mereka, di Mahkamah Sesyen di sini.
Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, keesokkannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.
Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Perbicaraan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh bersambung 2.30 petang ini.
Sumber: Astro Awani menerusi Sinar Harian