Tiada Gimik! Nabila Razali Yakin Lagu ‘Tulus’ Ada Kekuatan Tersendiri - “Tak Boleh Lari Dari Tanggapan Orang Gelar Saya Ratu…”
30/03/2023 02:00 MYT
“Tiada dengar apa-apa kan? Maksudnya tiada lah,” demikian jawab penyanyi, Nabila Razali apabila disoal adakah akan melakukan gimik untuk lagu terbaharunya berjudul, Tulus.
Menurut Nabila, 30, tiada sebarang gimik yang diperlukan memandangkan lagu Tulus yang dinyanyikan bersama Adi Priyo itu sudah mempunyai kekuatan tersendiri.
“Lagu ini saya berkolaborasi bersama Adi Priyo. Tiada gimik yang saya akan buat untuk lagu ini sebab saya percaya lagu Tulus mempunyai kekuatan yang tersendiri, ada kualitinya.
“Sebelum ini, ketika tease lagu tersebut dikeluarkan sedikit pun sudah mendapat sambutan oleh peminat, belum lagi lagu penuhnya. Peminat saya dan Adi semua asyik tanya sebab dah tak sabar,” katanya kepada Gempak.
Nabila berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Universal Music Malaysia yang diadakan baru-baru ini.
Dalam masa sama, pelantun lagu Peluang Kedua itu akui tidak mampu untuk mengelak daripada cakap nakal netizen meskipun ada yang menggelarkan dirinya sebagai Ratu Gimik.
“Saya tidak boleh lari daripada tanggapan orang yang menggelar saya Ratu Gimik. Pada saya, selagi berada dalam industri seni, saya akan berkarya sekreatif yang mungkin.
“Cara setiap artis mempromosikan lagu mereka adalah berbeza-beza, mungkin ini cara saya. Nak kata selasa atau tidak sebenarnya saya tidak rasa apa-apa, namun itu adalah perkara yang baik apabila orang notis saya akan keluar lagu baharu,” ujarnya.
Berkongsi mengenai kolabrasi bersama Adi, Nabila berkata sudah menjadi impiannya sejak dulu lagi.
“Adi merupakan salah seorang penyanyi yang saya ingin berkerjasama. Apabila kami terima lagu Tulus daripada pencipta, Aiman Sidek, sudah tahu lagu itu sangat sesuai degan Adi walaupun pada asalnya hanya untuk solo sahaja,” kongsinya.
Tulus merupakan kolaborasi antara tiga syarikat iaitu Nabila Razali Entertainment, Global Keynote dan Alternate Records Sdn Bhd serta diedarkan oleh Universal Music Malaysia.
Lagu ciptaan Aiman Sidek itu boleh distrim di semua platform digital bermula Rabu, 29 Mac 2023. Manakala muzik video rasmi Tulus akan menyusul menerusi saluran YouTube Nabila Razali Entertainment.