Tiada Istilah Berdamai, Puteri Sarah Tetap Terus Pertahankan Diri - “Syukur Negara Kita Ada Undang-Undang”
Asyikin Mayudin
10/11/2022 23:56 MYT
10/11/2022 23:56 MYT
Pelakon Puteri Sarah Liyana menegaskan pihaknya tidak akan menarik balik saman terhadap wanita yang didakwa menganggu rumah tangganya dengan pengarah Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar.
Malah, Puteri Sarah turut memaklumkan pihak Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sudah menetapkan tarikh untuk perbicaraan kes saman tersebut yang akan diadakan pada 25, 28 dan 29 Ogos hadapan.
Ia sekaligus juga menjawab persoalan ramai selepas bapa kepada Ira iaitu Kazar atau Kazaruddin Saisi yang memberi kenyataan berharap mereka dapat berdamai.
“Apa yang pasti, saya tidak akan menarik balik dakwaan dan saya akan teruskan sehingga perbicaraan. Memang proses ini lambat sebab mahkamah sibuk sekarang, tapi saya sudah dapat tarikh perbicaraan pada Ogos tahun depan.
“Walaupun perbicaraan pada Ogos, perintah injuksi interim tetap berjalan. Kalau ada orang langgar saja perintah itu, memang kena. Alhamdulillah saya rasa saya dilindungi.
“Syukur negara kita ada undang-undang sebab kalau tidak mungkin saya berterusan dilanyak. Jadi biarpun perbicaraan lambat, saya okay saja, saya boleh terus kehidupan saya macam biasa sebab saya tak bersalah,” katanya kepada Gempak.
Pelakon drama Suri Hati ini juga kelihatan gembira berkongsi perkara tersebut dan mengakui dirinya kini lebih tenang selain dapat fokus dengan kerjayanya serta sebagai ibu kepada dua cahaya mata.
“Kalau dua tahun lepas awak tanya saya, memang saya akan sibukkan diri supaya saya tidak berfikir mengenai masalah ini. Tapi sekarang ini saya sudah semakin matang dan syukur rezeki saya makin murah.
“Saya pun tak mahu tolak ‘job’ kerana lakonan adalah jiwa saya. Dalam masa sama, ada banyak juga tawaran ‘review’ produk. Dan bila saya tidak bekerja, saya akan meluangkan masa dengan anak-anak. Itu adalah kebahagiaan saya sekarang ini.
“Dan kalau orang tanya adakah kebahagiaan saya berkaitan dengan suami, yang itu kita tengok macam mana nanti. Tapi buat masa sekarang, saya gembira dengan kehidupan saya,” ujarnya.
Terdahulu, Puteri Sarah memaklumkan salah seorang ahli keluarga daripada pihak defenda iaitu Ira Kazar mengeluarkan kenyataan mengaitkan namanya di media sosial minggu lalu.
Peguam Puteri Sarah juga telah menghantar satu notis komital / penghinaan terhadap perintah injuksi mahkamah bertarikh 4 Julai pada Rabu kepada individu tersebut.
Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!