HIBURAN
Tiada Istilah Memilih Menantu, Ibu Along Cham Sedih Tengok Rumah Tangga Anak Bermasalah - “Setahun Kami Tidak Berjumpa Sebab Terkilan…”
Ibu kepada pelakon dan pelawak Along Cham iaitu Siti Habsah Kadir, 64, mengakui dia pernah berada dalam fasa tidak bercakap dengan anaknya sejak mereka berkahwin pada bulan April tahun lalu.
Menurut Habsah, dia enggan mengulas lebih lanjut mengenai dakwaan telah wujud perselisihan faham yang besar dalam keluarga berpunca daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh isteri Along Cham iaitu Afreena Suhaimi.
“Saya tidak pernah pilih siapa menantu saya. Siapa yang anak saya pilih, saya terima seadanya.
“Apa yang dia (Feena) beritahu kepada media tentang keluarga Along, dia sahaja yang tahu. Cuma dia buat kesilapan terhadap keluarga saya, hingga Along benci keluarga sendiri.
“Setahun kami tidak jumpa kerana terkilan. Apa yang berlaku terlalu peribadi, itu sahaja saya cerita,” katanya ketika ditemui Gempak di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor, pada Isnin.
Pada masa sama, ibu kepada pelawak itu turut menyatakan dia enggan lagi masuk campur dalam urusan rumah tangga anaknya itu.
Bagaimanapun, sebagai seorang ibu dia tidak pernah mahukan rumah tangga yang dibina anaknya musnah kurang daripada setahun.
“Selepas Along kahwin saya tidak masuk campur, pandai-pandai Along melentur rumah tangga dia.
“Sebenarnya sedih tengok anak jadi begini, bukan saya minta. Bukan saya suka, saya tak suka, saya sedih sangat-sangat,” tambahnya sebak.
Dalam pada itu, Along turut menegaskan dia terpaksa membuka mulut apabila ibunya turut terkena tempiasnya.
“Bukan sifat saya kaki sebar aib rumah tangga. Kali ini apabila sudah melibatkan ibu saya hingga dituduh bukan-bukan dicanang kepada jiran, apalah agaknya perasaan seorang ibu.
“Dua bulan kahwin memang ada ‘demam’ sikit tapi lepas itu rezeki mula masuk daripada Angah dan Didie Alias.
“Saya ada isteri tapi saya terlepas salam raya dengan ibu, tidak dapat berpeluk dengannya sedangkan redha Allah terletak pada redha ibu.
“Saya bersyukur sebelum salah seorang pejam mata, kami kembali bersama. Bagaimana bentuk keadaannya, itu semua perancangan Allah,” katanya.
Sekadar info, hakim Muhamad Nazri Basrawi memutuskan 8 Mei depan sebagai tarikh perbicaraan baharu bagi pengesahan lafaz cerai yang dibuat Along atau Muhammad Nizamuddin Ahmad tidak lengkap.
Penangguhan tersebut dibuat selepas dokumen yang dilampirkan Along tidak lengkap.
Along dan Afreena berkahwin pada 4 April 2024 selepas lapan tahun menduda.