HIBURAN
Tiada Istilah Merajuk, Hael Husaini Hanya Berehat Sekejap Jadi Penyanyi - “Untuk Tahun Ini Saya Mahu Fokus…”
Selepas lagu ciptaannya, Bukan Lagi Kita nyanyian Nadeera Zaini menempa kejayaan di Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-39, penyanyi dan komposer, Hael Hussaini, mahu mencuba untuk melebarkan sayap seni ke negara seberang.
Karya baharu
Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi berkata tahun ini dia mahu memberi fokus terhadap penghasilan karya baharu dan bakal berkolaborasi dengan beberapa artis dari negara seberang.
“Untuk seterusnya, saya akan berehat sebentar dan fokus dengan ‘first baby’ saya iaitu anak syarikat saya terbaharu, Huge Entertainment di mana saya akan bekerjasama dengan ramai artis termasuk artis luar negara termasuk menghasilkan lagu.
“Tapi dalam masa sama, saya juga akan bekerjasama dengan artis Malaysia, Insya-Allah. Sebab saya sudah berehat selama empat tahun… terakhir saya menghasilkan Peluang Kedua dan saya mula balik dengan Bukan Lagi Kita yang mendapat sambutan, jadi untuk tahun ini saya mahu fokus dengan artis yang sudi bekerjasama dengan saya.
“Projek pertama Huge Entertainment adalah Nadeera, Alhamdulillah ia mendapat sambutan dan InsyaAllah selepas ini saya terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana artis yang mahu bekerjasama dengan saya. Doakanlah agar semua impian saya tahun ini direalisasikan,” katanya.
Kolaborasi artis
Tambah Hael, kerjasama dengan artis luar negara mampu membuktikan kepada rakyat tempatan dan juga orang luar bahawa karya komposer dari Malaysia juga berkualiti.
“Kerjasama ini mampu memberi impak positif pada kita tapi penyanyi dari negara mana atau siapa, belum boleh saya kongsikan sekarang. Ada beberapa penyanyi, insyaAllah. Ini adalah peluang besar untuk saya anak tempatan membina nama sebagai pencipta lagu.
“Saya mahu orang luar tahu bahawa Malaysia juga mempunyai kualiti yang boleh diangkat di peringkat lebih tinggi. Kadang-kadang kita memandang produk luar lebih tinggi, jadi bila diberikan peluang ini saya lihat ia sebagai satu bonus untuk mengetengah kekuatan dan keunikan kita,” katanya.
Hael berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pertunjukan fesyen koleksi Amber bertemakan Raya Romantics di Hotel Majestic, baru-baru ini.
Berehat sekejap
Sementara itu, bertanya mengenai dakwaan dia mahu berhenti menyanyi atau tidak mahu lagi bertanding di AJL sebagai penyanyi selepas ini, Hael berkata dia tidaklah akan berhenti sepenuhnya.
“Ada betulnya tapi saya tidaklah berhenti terus, cuma tahun ini saya lebih fokus pada anak syarikat saya sebab dalam masa empat tahun saya berhenti, banyak artis yang mahu bekerjasama dengan saya tapi saya tiada masa dan peluang. Jadi untuk tahun ini saya mahu tunaikan semua itu.
“Saya tidak pernah merajuk sebab bagi saya, AJL adalah antara titik mula ‘Hael Hussaini’ diperkenalkan semua rakyat Malaysia sebenarnya. Cuma perancangan akan datang, saya mahu memperbanyakkan lagi karya saya supaya rakan artis yang ingin bekerjasama dengan saya sebelum ini dapat ditunaikan,” katanya.
Hael turut turut terharu atas sambutan positif terhadap lagu-lagu ciptaannya yang sekaligus menjadi motivasi untuknya terus menghasilkan karya baharu.
“Apa pun, saya masih lagi menyanyi dan bekerja seperti biasa dan keluarkan lagu sendiri. Tetapi keutamaan itu, adalah untuk mencipta karya-karya untuk dinyanyikan artis lain.
ARTIKEL BERKAITAN: “Ingatkan Kembar Hael Husaini”- Netizen Puji Transformasi Ojen Di GMWA 2024
ARTIKEL BERKAITAN: Hael Menangis Lihat Persembahan Nadeera, Peminat Terharu - “Dia Memang Nak Angkat Nadeera Dalam…”
ARTIKEL BERKAITAN: Bantu Rakan Artis Turun Naik Tangga, Netizen Puji Sifat Gentleman Hael Husaini - “ Tak Sia-sia Minat Dia Dari…”
“Itu adalah kepuasan saya bila ada lagu yang dicipta mendapat sokongan ramai pendengar. Misalnya ketika di AJL39 baru-baru ini, bila lihat karya ‘comeback’ saya selepas empat tahun itu diterima,” katanya.
Pada AJL39, lagu Bukan Lagi Kita ciptaan Hael dan Iqie Hugh yang dinyanyikan Nadeera Zaini berjaya meraih tempat kedua. Malah lagu Diam nyanyian Hael sendiri turut mara sebagai salah satu daripada 10 lagu yang bertanding di pentas berprestij itu.