Aktor Nazim Othman mendedahkan aktiviti melancongnya sudah bermula sejak umur belasan tahun lagi.

Nazim menidakkan spekulasi yang mendakwa dia bercuti disebabkan dirinya dibelenggu dengan masalah.

"Sebenarnya saya memang suka bercuti ke luar negara. Aktiviti itu bermula sejak umur saya 19 tahun lagi.

"Masa itu wang hanya cukup-cukup, jadi saya naik keretapi daripada KL Sentral ke Thailand.

"Tiada istilah saya bercuti disebabkan jiwa kacau. Saya memang suka melancong.

"Sekarang ini apabila solo, jika ada ruang memang akan melancong. Banyak lagi tempat yang belum saya jejakkan kaki," katanya kepada Gempak.

Tambah Nazim atau nama sebenarnya Nushrul Alif Othman, 35, dia akui tidak menjadikan soal pengganti sebagai perkara utama dalam kehidupannya sekarang.

"Sejujurnya saya tidak pernah ada calon pengganti sejak Mei tahun lalu, skandal pun tak ada.

"Jika ada masa saya akan bercuti ke luar negara, jadi saya tiada masa untuk memikirkan soal jodoh.

"Tambahan lagi saya langsung tidak memberi fokus untuk mencari pasangan. Saya bahagia dengan kehidupan sekarang.

"Namun saya sendiri tak boleh nak komen sampai bila situasi ini akan berlanjutan," katanya lagi.

Nazim kini sibuk menjalani penggambaran drama Suri Katriana arahan Pali Yahya.

Selain Nazim, drama Suri Katriana turut dibintangi pelakon hebat iaitu Ummi Nazeera, Ernie Zakri, Hasnul Rahmat, Zul Huzaimy, Aishah Azman, Rozita Che Wan, Nadiyaa Nisa, Eleena Sui dan ramai lagi.

Drama Suri Katriana sudah mula ditayang mulai 29 Oktober 2019 jam 6 petang di Astro Prima (saluran 105) dan Prima HD (saluran 121).