Pelakon Aiman Hakim Ridza akui tidak kisah apabila melihat isterinya Zahirah MacWilson melakonkan babak mesra bersama aktor Hafreez Adam menerusi drama terbaharu lakonan mereka, Tiada Maaf Buatmu.

Jelas Aiman, dia menganggap hal berkenaan sebagai salah satu daripada tuntutan kerja seorang pelakon, malah dirinya tidak berasa cemburu terhadap perkara tersebut.

“Pada saya tiada masalah untuk lihat isteri saya melakokan babak-babak yang bersentuhan, itu pada saya adalah sebahagian daripada art dalam lakonan dan ia merupakan satu pekerjaan.

“Saya tak pernah letak set pemikiran untuk melihat pekerjaan yang dilakukan itu sebagai peribadi seseorang.

“Bila ada babak-babak sedemikian saya tak pernah terfikir itu ada isu atau cemburu dan sebagainya,” kongsi Aiman kepada Gempak.

Dalam pada itu, Aiman yang membawakan watak Faiz Iqbal dalam drama tersebut menyifatkan Zahirah sebagai seorang yang professional ketika di set penggambaran.

“Zahirah seorang yang sangat professional dalam kerja-kerja yang dia lakukan, tambah lagi sebelum ini kami pernah digandingkan sekali dalam sebuah drama terbitan Astro iaitu Jangan Masuk Rumahku.

“Dia tahu apa yang dia perlu buat dan seorang yang bijak serta sangat mudah untuk bekerjasama,” tambah aktor tampan itu.

Selain Aiman dan Zahirah, Tiada Maaf Buatmu turut membariskan pelakon lain seperti Hafreez Adam, Wan Raja, Datuk Jalaluddin Hassan dan Zamarul Hisyam.

Sinopsis:

Tiada Maaf Buatmu mengisahkan Aina Cempaka seorang gadis yang mengalami kecelakaan sehingga ia merubah kehidupannya. Perbuatan abangnya yang tidak melangsaikan hutang pemilik kelab malam menjadikan Aina Cempaka mangsa keadaan. Kejadian itu membuatkan kehidupan Aina Cempaka menjadi lebih malang apabila dia kehilangan ingatannya. Dia membawa diri ke Kuala Lumpur untuk memulakan kehidupan baharu. Namun, takdir menemukan Aina Cempaka dan Faiz Iqbal kembali apabila dia mendapat kerja sebagai pembantu peribadi di syarikat Faiz Iqbal.

Saksikan Tiada Maaf Buatmu yang akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam mulai 28 September 2022 secara eksklusif di slot MegaDrama, Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang lebih fleksibel.