Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
HIBURAN

Tiada Lafaz Cerai Berlaku, Isteri Edika Yusof Ada 10 Sebab Mahu Bercerai - “Ia Akan Mengaibkan & Dakwaan Semua Itu Adalah Paling Kritikal”

Ainun Md Zooki 23/04/2025 | 04:33 MYT
Peguam Syarie yang mewakili isteri kepada Edika Yusof, Nor Hidayah memaklumkan tarikh sebutan semula kes permohonan cerai telah ditetapkan pada 5 Mei depan.
Menurut Peguam Mohd Yazid Hazim dari Tetuan Yazid Azuhan Associates berkata ia susulan pihak plantif dalam keadaan tidak suci dan menyebabkan tiada lafaz cerai berlaku pada hari ini.
“Seperti sedia maklum, hari ini adalah kes permohonan cerai yang mana secara asasnya, mahkamah sudah membenarkan Edika melafazkan cerai pada pihak Nor Hidayah tapi disebabkan dia tidak suci hari ini, jadi mahkamah menangguhkan kepada 5 Mei depan.
“Pada tarikh itu Edika perlu hadir ke mahkamah untuk melafazkan cerai,” katanya kepada Gempak.
Peguam Yazid berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Rabu.
Pada masa sama, Mohd Yazid turut memaklumkan terdapat 10 dakwaan yang disertakan oleh Nor Hidayah atas sebab permohonan cerai dibuat, bagaimanapun pihaknya tidak boleh mendedahkan kerana ia boleh mengaibkan.
“Kita sudah bentangkan fakta-fakta kes untuk mahkamah teliti permohonan cerai ini sama ada wajar atau tidak pihak Nor Hidayah mahu bercerai dengan suaminya. Selepas fakta itu dibentang dan dakwaan itu dijawab oleh Edika, mahkamah turut memanggil anak sulungnya untuk memberi keterangan terhadap setiap dakwaan Nor Hidayah terhadap Edika.
“Mahkamah pun menerima setiap keterangan dan alasan Nor Hidayah dan suka saya nyatakan mahkamah menerima alasan yang paling kritikal dalam rumah tangganya yang sudah berlalu selama lebih 20 tahun.
“Ia sepatutnya sudah diselesaikan tapi disebabkan Nor Hidayah bermurah hati demi menjaga maruah keluarga. Sampai sekarang barulah dia ada ketabahan atau kerelaan untuk memohon. Ini pun kerana dia sudah tidak tahan sangat.
“Ada lebih kurang 10 dakwaan dan kalau saya bentangkan di sini, ia akan mengaibkan dan dakwaan semua itu adalah yang paling kritikal dan boleh mencemarkan maruah Nor Hidayah sebagai isteri,” katanya.
Berikutan itu, Mohd Yazid berkata tindakan Nor Hidayah memfailkan cerai adalah suatu tindakan yang wajar sebab Nor Hidayah sudah menerima pelbagai kecaman dari pihak-pihak yang menyalahkan dirinya.
“Dakwaan ini semua disaksikan oleh anaknya dan menyokong dakwaan Nor Hidayah. Jadi ketidaksefahaman adalah hanya ‘surface’ saja, ada sembilan dakwaan yang kritikal lagi,” katanya.
Pagi tadi, berlangsungnya sebutan kedua bagi kes permohonan cerai Nor Hidayah yang dibuat pada pertengahan Februari lalu. Mahkamah menetapkan hari ini sebagai tarikh sebutan semula kes selepas Edika gagal menghadirkan diri dalam prosiding pertama.
Sebelum ini, kisah pasangan tersebut meraih perhatian ramai apabila Edika setia menjaga Nor Hidayah yang lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak mereka.