Tiada Lagi Persengketaan, Netizen Sebak Lihat Hubungan Baik Fasha Sandha & Nora Danish - “Pernah Berpisah, Bergaduh Tapi…”
Asyikin Mayudin
16/04/2023 03:02 MYT
16/04/2023 03:02 MYT
Perkongsian foto pelakon Fasha Sandha bersama aktres Nora Danish dan bekas keluarga mentua mereka di laman sosial menarik perhatian netizen.
Malah komen yang ditinggalkan Fasha untuk Nora menerusi perkongsian tersebut juga mencuri tumpuan netizen.
Fasha meluahkan rasa syukur apabila hubungan mereka sekeluarga baik dan mengatakan anak sulungnya Putra Rayfal Ramli Rizal Ashram adalah individu yang paling gembira.
“Terima kasih mummy gorgeous dan keluarga. Terima kasih layan saya dan anak-anak dengan baik siap tolong nak ambilkan air untuk Aisha. Such a good heart.
“Syukur Alhamdulillah, Rayfal is the happiest person when we reunited. Anak-anak juga menyatukan hati kita semua.
“Alhamdulillah syukur diatas kebaikan yang Allah berikan untuk keluarga kita. Alhamdulillah,” komen Fasha.
Rata-rata netizen memuji hubungan baik Fasha dan Nora pernah berdepan persengketaan di antara mereka sebelum ini.
“Alhamdulilah good vibes and tumpang rasa bahagia tengok keluarga ni. Pernah berpisah, pernah bergaduh, tapi masa mengubah semua. Syukur alhamdulilah. Thanks for showing us that people can change and forgiven.
“MasyaAllah happynya tengok kak Fasha dan kak Nora satu frame macam ni. Semoga keluarga ini kekal bahagia hingga ke syurga,” komen netizen.
Terdahulu, Nora dan Fasha berkumpul bersama di kediaman bekas keluarga mentua mereka iaitu Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.
Perjumpaan keluarga itu dipercayai bersempena meraikan ulang tahun kelahiran anak lelaki Fasha dan Jejai iaitu Putra Rayfal Ramli yang ke-10.
Untuk rekod, Fasha dan Jejai berkahwin pada 27 April 2012 namun mereka bercerai pada 20 Januari 2016.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang cahaya matai aitu Putra Rayfal Ramli, 10, dan Putri Raysha Jemyma, lapan tahun.
Fasha kemudiannya berkahwin dengan Aidil pada 9 Mac 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Aisha Amaira yang kini berusia dua tahun.
Sebelum itu, Rizal dan Nora pernah mendirikan rumah tangga pada 20 Jun 2006 dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Putra Rayqal Ramli yang kini berusia 14 tahun.
Pasangan itu bercerai pada 10 Julai 2008 selepas dua tahun berkahwin.
Nora juga sudah berkahwin lain dengan Mohd Nedim Nazri pada 30 Mac 2017 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Mohamed Neqayl, lima tahun.