Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Tiada Layanan Istimewa, Anak Shah Rukh Khan Akan Makan Menu Penjara

Maliah Surip
09/10/2021 03:45 MYT
Anak Shah Rukh Khan, Aryan Khan yang ditangkap dalam serbuah di sebuah kapal mewah atas dakwaan skandal dadah kini berada di penjara selepas ditahan reman sejak awal minggu ini.

Aryan yang merupakan anak bujang pesohor Bollywood itu sepatutnya dibebaskan hari ini.

Namun tahanan remannya diperpanjangkan selama 14 hari dan akan menjalani 'hukuman' tersebut di Penjara Arthur Road, Mumbai. Dia dan lima lainnya yang ditangkap dalam serbuan tersebut ditempatkan dalam lokap nombor 1 yang merupakan kawasan kuarantin istimewa yang terletak di aras satu penjara.

Menerusi laporan Indiatoday.com, Aryan dan yang lainnya disahkan negatif dari najis dadah dan telah mengambil dua dos vaksin COVID 19.

Menurut sumber, sepanjang berada dalam tahanan, pemuda berusia 23 tahun tersebut tidak menerima layanan istimewa.

Dia akan menjalani rutin sama seperti banduan lain dengan bangun seawal 6 pagi. Aryan kemudian akan menikmati sarapan pada pukul 7 pagi, makan tengahari pukul 11 pagi sementara makan malam pada pukul 6 petang.

Antara menu yang akan dimakan oleh Aryan bersama tahanan lain termasuk chapati, dal dan nasi.

Meski demikian, Aryan dibolehkan membeli makanan di kantin namun perlu membayar dengan harga yang mahal.

Sehingga perintah baharu dikeluarkan oleh mahkamah, Aryan tidak boleh menikmati makanan yang dihidangkan dari air tangan ibunya, Gauri Khan atau dari luar.

Terdahulu dalam pembelaan yang dibuat oleh peguamnya, Satish Manshinde, dia menegaskan anak guam sebagai seorang yang baik dan berasa tidak adil untuk terus menahan reman kliennya memandangkan pihak berkuasa tidak menemui dadah atau bahan terlarang bersama Aryan.

"Saya berusia 23 tahun, dibesarkan dalam keluarga yang dihormati. Saya juga memegang pasport India dan mempunyai reputasi yang baik," katanya.

Bagaimanapun pihak Biro Kawalan Narkotik (NCB) menegaskan pembebasan Aryan boleh menjejaskan perjalanan kes memandangkan serbuan yang dilakukan membawa kepada penemuan berkaitan skandal dadah yang cukup besar.

Pada Ahad, Aryan dan tujuh lagi individu ditahan oleh anggota polis dari NCB yang melakukan penyamaran ketika melakukan serbuan di atas Cordelia ketika kapal itu berlayar menuju ke Goa.

Aryan ditahan kerana dipercayai terbabit menggunakan, membeli dan menjual bahan terlarang dan pihak NCB mendakwa telah merampas sejumlah dadah termasuk kokain dan ekstasi.

Kredit Foto: India Today

#Shah Rukh Khan #Dadah #Aryan Khan #Penjara #Jenayah
;