Aktres jelita, Che Puan Juliana Evans tidak menghadapi kesukaran untuk membahagikan masa sebagai seorang isteri, ibu dan artis.

Menurut Juliana, buat masa ini, dia tidak memberi komitmen yang berat dalam penglibatannya di industri hiburan.

"Selepas bulan pertama bergelar ibu, boleh dikatakan saya tidak mempunyai masalah untuk membahagikan masa terhadap keluarga dan kerjaya.

"Buat masa ini, saya tidak memberi komitmen yang berat dalam lakonan, saya hanya aktif menghadiri acara-acara tempatan dan sesi fotografi sahaja,"
katanya kepada Gempak.

Juliana berkata demikian di majlis cukur jambul dan berendoi Tengku Kamiliah bertempat di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang pada Sabtu.

Dalam pada itu, Juliana juga bersedia untuk menerima tawaran yang memerlukan komitmen masa yang panjang apabila anaknya semakin membesar.

"Insya-Allah saya boleh menerima tawaran yang memerlukan komitmen masa panjang apabila anak saya semakin membesar dan tak begitu 'clingy' seperti sekarang," tambahnya.

Terdahulu, Juliana mendirikan rumah tangga bersama Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah Al-Hajj pada April 2017.

Pasangan merpati dua sejoli ini dikurniakan seorang cahaya mata, Tengku Kamiliah Shariffuddin yang baru sahaja berusia dua bulan.