HIBURAN

Tiada Niat Bersaing, Sharul Kamal Bawa Emas Ke Dimensi Baru - “Saya Hanya Mahu Memberi…”

Asyraf Roslan 17/08/2025 | 04:55 MYT

Penyanyi, Sharul Kamal tampil dengan buah tangan terbaharu apabila mempersembahkan semula lagu berjudul Emas sebagai projek sulungnya bersama Rocket Fuel Entertainment.

Menurut Sharul, proses rakaman lagu itu sudah dilakukan beberapa bulan lalu selepas melalui sesi penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan hasilnya segar dan mampu diterima pendengar.

“Biasanya kita dengar istilah R&D untuk produk, tapi bagi saya, lagu ini juga satu produk. Benchmark sudah ada iaitu Emas versi asal Nadeera jadi kami tidak berniat untuk bersaing.

“Sebaliknya, saya hanya mahu memberi nafas baharu dengan sentuhan versi lelaki,” katanya.

Dalam pada itu, Sharul turut menegaskan dia tidak berniat untuk menandingi versi asal tetapi sekadar menambah warna dan kreativiti agar masyarakat dapat menikmati kelainan tanpa mengubah rasa sebenar lagu tersebut.

“Saya rasa berbesar hati diberi tanggungjawab menyanyikan semula Emas.

“Roh lagu itu sudah sebati kerana saya sendiri sudah biasa mendengarnya. Apa yang penting, saya mahu pendengar mendapat pengalaman baharu tetapi dengan rasa yang sama. Apabila mendengar hasil akhir lagu ini, saya sendiri rasa tidak sabar untuk ia diperdengarkan kepada orang ramai,” ” ujarnya lagi.

Bagi Sharul, perjalanan kerjayanya sejak 2015 hingga kini sangat bersesuaian dengan maksud yang terkandung dalam lagu Emas menjadikan projek ini lebih bermakna.

Sharul turut merakamkan penghargaan kepada semua individu yang terlibat menjayakan karya ini, termasuk para komposer dan penulis lagu iaitu Iqie Hugh, Omar K, Datin Alia dan Firdaus Rahmat.

Lagu Emas nyanyian Sharul Kamal sudah boleh distrim menerusi semua platform penstriman.
#Sharul Kamal #Emas