Hiburan
"Tiada Niat Cetus Rasa Marah" - Lan Perjelas Sebab Penubuhan Kristal X
Penyanyi Lan Solo telah menyatukan semula anggota asal kumpulan Kristal iaitu Ezal Dan Ainul dalam kumpulan baru yang dinamakan Kristal X.
Menurut Lan, penubuhan Kristal X tidak bertujuan untuk mewujudkan perasaan marah dalam diri sesiapa, sebaliknya hanya mahu membantu rakan-rakannya mencari rezeki dengan menyertai kumpulan itu.
"Saya tiada niat untuk mewujudkan perasaan marah mana-mana pihak, sebaliknya, penubuhan kumpulan ini bertujuan untuk membantu rakan-rakan saya meneruskan kelangsungan hidup.
"Kami sama-sama cari makan dalam industri hiburan, jadi, kami harus gunakan kreativiti yang ada dalam diri untuk terus berkarya," katanya.
Lan berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran single rasmi Kristal X iaitu Seragam Hitam Versi 2020 di Red Box Karaoke, The Gardens Mall, Kuala Lumpur semalam.
Tambah Lan, dia masih sayangkan kumpulan Kristal yang lama, namun buat masa ini, dia tidak boleh bekerjasama dengan salah seorang anggota kumpulan itu.
"Saya masih sayangkan kumpulan Kristal yang lama, cuma buat masa sekarang, saya tidak boleh bekerjasama dengan anggota kumpulan itu.
"Penubuhan Kristal X dan pelancaran Seragam Hitam Versi 2020 yang dinyanyikan semula ini adalah bersempena meraikan ulang tahun ke-20 kumpulan Kristal," tambahnya.
Selain Lan, Ezal dan Ainul, Kristal X juga menampilkan Napi selaku pemain dram jemputan.
"Saya dan rakan yang lain telah bersepakat untuk tidak terikat dengan band ini semata-mata, kami perlu bersikap realistik dan mempertimbangkan aspek kehidupan sekarang yang perlu banyak melakukan kerja untuk mencari rezeki," ujarnya lagi.
Terdahulu, Lan meneruskan karier seni secara solo mulai hujung tahun 2017 dan menggunakan nama Lan Solo.