Tiada Niat Kutuk Bella Astillah, Emma Maembong Akui Silap Tanya Ruhainies - “Saya Minta Maaf Sebab Jadi Kepochi”
Asyikin Mayudin
24/04/2024 14:51 MYT
24/04/2024 14:51 MYT
Nama pelakon Emma Maembong dan adiknya, aktres Chacha Maembong mula diperkatakan selepas nama mereka terbabit dalam isu melibatkan penyanyi Aliff Aziz, Ruhainies dan wanita bernama Sarah Yasmine.
Silap Bertanya Dekat Ruhainies
Bagaimanapun, Emma menerusi video yang dikongsikan di Instagram mengakui kesilapannya bertanyakan kepada Ruhainies mengenai khabar angin melibatkan isteri kepada Aliff iaitu Bella Astillah.
Menurut Emma, dia tidak mempunyai niat untuk mengutuk Bella sebaliknya hanya ingin mengetahui perkara sebenar mengenai Bella yang tersebar ketika sedang menjalani penggambaran.
“Saya cakap jujur, sepanjang saya shooting memang kes Bella viral dekat kita punya produksi, belakang tabir. orang asyik cakap dan tanya tapi saya cakap tak tahu.
“Saya dengar macam-macam cerita dan khabar angin. Saya dengar cerita, saya jadi kesian dekat Bella. Tapi saya ada dengar orang lain borak, orang kata sebaliknya,” ujar Emma.
Patut Hubungi Bella
Tidak menyelebelahi mana-mana pihak, Emma memberitahu dia sepatutnya menghubungi Bella sendiri untuk bertanyakan kesahihan khabar angin tersebut.
“Saya tak rapat dengan Ruhainies dan Bella tapi kenal sebagai rakan artis yang selalu jumpa di event. Tapi dengan Bella, saya hanya bertegur sapa, cuma kalau borak satu meja itu adalah Ruhainies.
“Saya hanya voice note dekat Ruhainies, hanya bertanyakan kesahihan khabar angin yang saya dengar mengenai Bella. Saya hanya tanya betul ke tak. Tapi silap saya sendiri pergi tanya Ruhainies.
“Saya tak tanya Bella sendiri sebab saya beranggapan waktu itu tak sesuai. Satu kesilapan saya pergi sibuk bertanya. Tapi bukan mengutuk atau nak ajak perang,” katanya lagi.
Mohon Maaf Kepada Bella
Bagaimanapun, Emma sudah menjelaskan salah faham yang berlaku ketika berhubung dengan Bella melalui rakan artis dan memohon maaf kepada penyanyi itu.
“Saya nak minta maaf kepada Bella sebab jadi kepochi. Saya minta maaf, saya tak sepatutnya masuk campur. Saya pun dah kahwin, faham benda itu. Saya tak ada niat nak kutuk, saya minta maaf,” katanya.