HIBURAN
Tiada Niat Sentuh Soal Agama, Thanuja Terharu Ramai Netizen DM ‘Explain’ Makna Raya Korban - “Saya Membesar Dalam Kalangan…”
Pelakon dan model Thanuja Ananthan tidak berniat untuk menyentuh soal agama apabila berkongsi luahan mengenai kesedihannya melihat haiwan disembelih sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Tiada sentuh soal agama
Thanuja memberitahu dia juga membesar dalam kalangan orang Islam dan sentiasa menghormati agama orang lain.
ARTIKEL BERKAITAN: Sedih Lihat Haiwan Disembelih, Thanuja Pilih Jauhkan Diri Dari Media Sosial - "Hati Saya Hancur..."
“Saya dah 16 tahun dalam industri dan sesiapa yang mengikuti saya dari mula saya dalam industri mereka tahu yang saya sememangnya seorang yang sayangkan haiwan.
“Saya bukan nak pertikai atau persoalkan tentang agama. Tak ada niat langsung untuk sentuh isu agama. Saya cuma meluahkan rasa sedih bila tengok video lembu disembelih.
“Tak ada nak cuba sakitkan hati mana-mana pihak. Saya sangat menghormati semua agama. Saya membesar dalam kalangan orang Islam juga sebab saya pergi sekolah kebangsaan.
“Saya ramai kawan-kawan muslim dan mereka juga pernah ajak saya masuk kelas mengaji. Malah, saya ini juga antara artis yang pandai menyanyi lagu nasyid dan hafal nama-nama Nabi,” katanya kepada Gempak.
Makna Aidil Adha
Biarpun menerima pelbagai kecaman, Thanuja bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sanggup memberi penjelasan yang lebih teliti mengenai makna Aidil Adha.
“Saya sangat berterima kasih kepada saudara Muslim yang sanggup tulis panjang-panjang dan mesej saya memberi penjelasan mengenai raya korban.
“Walaupun ada yang kecam, tapi masih ramai lagi yang memberi sokongan kepada saya. Mereka memberi penjelasan yang lebih teliti mengenai makna Aidil Adha.
“Bila saya tengok ramai yang sabar menulis panjang-panjang untuk beri penjelasan kepada saya, saya sangat terharu,” ujarnya.
Sebelum ini, Thanuja Ananthan menzahirkan rasa sedih dan mengakui emosinya terganggu setiap kali melihat haiwan disembelih sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Menurut Thanuja, dia sukar mengawal perasaan setiap kali melihat video penyembelihan lembu dan kambing yang tular di media sosial.
Bagaimanapun luahannya itu menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen yang beranggapan Thanuja tidak memahami maksud sebenar raya korban.