Hiburan
Tiada Paksaan, Hazama Mahu Kekasih Peluk Islam Dengan Rela Hati
Penyanyi Hazama mahu kekasihnya, pemuzik Genervie Kam memeluk agama Islam dengan rela hati dan tanpa paksaan.
Malah, dia sanggup menunggu teman wanitanya itu benar-benar bersedia untuk menukar agama bukan semata-mata untuk berkahwin.
“Kalau boleh memang itulah harapan saya (tukar agama) tetapi bagi saya ia berkait rapat dengan hati dan kita tidak boleh paksa.
“Saya lebih suka jika dia masuk Islam dengan rela hati dan bukan disebabkan perkahwinan.
“Saya sedia menunggu selagi termampu kerana bagi saya bekerja dalam bidang ini agak sukar untuk mencari orang yang faham kerja kita.
“Dia sangat faham tentang kerjaya saya dan saya senang bersama dengannya,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert 5 Divo baru-baru ini.
Mengambil Akim sebagai contoh, Hazama akui dia begitu kagum dengan ketabahan penyanyi Akim Ahmad yang sanggup menunggu tunangnya, Stacy memeluk agama Islam selepas tujuh tahun berkenalan.
“Sejujurnya saya kagum dengan Akim kerana dia merupakan seorang yang tabah dan sanggup tunggu selama tujuh tahun sebelum Stacy mengmbil keputusan untuk memeluk Islam.
“Saya juga ada meminta Akim berkongsi pandangan dan pendapat mengenai percintaan berlainan agama,” ujarnya.
Sementara itu, bercakap mengenai soal perkahwinan, Hazama masih belum terfikir mengenai hal tersebut kerana sibuk dengan kerja.
“Awal tahun ini saya masih belum sempat nak fikirkan soal kahwin kerana sibuk dengan kerja dan tanggungjawab itu lebih besar berbanding kisah cinta saya.
“Masa rehat saya pun terhad kerana jadual saya sangat padat dan komitmen terhadap kerja perlu diutamakan terlebih dahulu.” jelasnya.
Hazama kini sibuk dengan program Mentor Milenia dan persiapan Anugerah Juara Lagu yang akan berlangsung pada Ahad ini.
Dalam perkembangan lain, Hazama turut terlibat dengan konsert 5 Divo bersama empat penyanyi popular iaitu Hafiz, Taufik Batisah, Afgan dan Judika pada 13 Februari depan.
Tiket telah pun dijual pada 28 Disember lalu dan boleh dibeli menerusi www.ticketpro.com.my.
Harga-harga tiket yang ditawarkan adalah RM 1188, RM988, RM888, RM588, RM388, RM188 dan RM128.
Teks Oleh: Mya Amri