Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Tiada Peluang Berlakon, A Aida Mahu ‘Boikot’ Hafidz Roshdi - “Kalau Dia Ada, Drama Saya Mungkin Tiada Rating”

Asyikin Mayudin
07/03/2023 01:50 MYT
Gara-gara kontroversi rumah tangga, penerbit Datuk A Aida menegaskan dia enggan menawarkan aktor Hafidz Roshdi berlakon dalam drama atau filem terbitan syarikatnya iaitu A Aida Production.

Menurut Aida, keputusan itu dibuat atas sentimen ditunjukkan masyarakat selain tidak mahu perilaku Hafidz memberi kesan negatif kepada karya terbitannya.

"Bagi saya, apa yang dilakukan (Hafidz) menyentuh sensitiviti masyarakat. Jadi, ini akan membuat penonton beremosi. Ini tidak bagus untuk syarikat produksi saya andai perkara seumpama itu terjadi.

"Jadi, saya tidak akan ambil pelakon seperti dia. Kalau dia ada, drama saya mungkin tiada 'rating'. Ini salah satu kemungkinan sahaja. Sama ada drama itu 'meletup' atau dikecam. Disebabkan itu, saya mahu elak," katanya kepada Gempak.

Tambah A Aida, dia sentiasa memberi peluang kepada selebriti yang mempunyai masalah peribadi seperti penyanyi Ismail Izzani.

"Seperti sekarang, Ismail Izzani sedang menjayakan penggambaran bersama syarikat produksi saya. Untuk hal ini, saya tiada masalah. Apa yang saya tahu, masalah Ismail bersifat peribadi.

“Namun, kalau masalah artis membabitkan orang lain seperti mengasari wanita dan menyentuh sensitiviti masyarakat, saya tidak akan ambil berlakon.

"Ismail bagi saya, pelakon yang bagus. Setiap hari dia datang ke lokasi penggambaran tepat pada waktunya. Dia tiada masalah dan sanggup belajar," katanya.

Terdahulu, kontroversi melibatkan Hafidz Roshdi yang berlaku curang dan lebih mengejutkan apabila aktor itu bertindak ganas terhadap isterinya, Nurul Shuhada.

Ahli keluarga Shuhada mendakwa wanita itu mengalami kecederaan akibat ditumbuk sebanyak tiga kali pada bahagian muka oleh suaminya selepas berlaku pertengkaran pada awal pagi tadi.

Hafidz dilaporkan sudah menceraikan isterinya dengan talak satu pada 23 Februari lalu.

#Hafidz Roshdi #A Aida #Aida #Nurul Shuhada #Hafidz Shuhada #Aida Hafidz
;