Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencuri perhatian wargamaya apabila mengedarkan tablet kepada penduduk Muar tanpa menggunakan sebarang protokol.

Menerusi laman sosial Twitter, Saddiq berkongsi sebuah video pengedaran hampir 1,000 tablet kepada pelajar sekitar Muar yang memerlukan.

“Rumah ke rumah untuk sampaikan tablet. Setakat ni dah 1000~ tablet sudah diedar. Kadang-kadang sampai sesat cari rumah. Mujur ramai tolong tunjuk jalan.

“Bantulah pendidikan pelajar di Muar. Ramai lagi yang mohon, tetapi stok kita terhad,” tulisnya menerusi kapsyen video.

Menerusi video berdurasi 17 saat itu, Saddiq menyerahkan tablet tersebut kepada pelajar terpilih dan kemudian bergegas bergerak ke rumah yang seterusnya.

Tanpa menggunakan sebarang protokol, khemah majlis penyerahan ataupun sepanduk, rata-rata wargamaya memuji tindakan Saddiq yang cepat menghulurkan bantuan.

Lebih tepat lagi, Saddiq disamakan seperti abang J&T yang cepat dalam kerja-kerja penghantaran.

Syed Saddiq dah macam abang J&T. datang depan pintu, pass barang, chow. simple mat, tak payah pening pening janji kerja jalan,” tulis seorang wargamaya.

Simple je keje YB ni. Datang bagi bantuan direct ke rumah. No majlis makan, no ucapan bawah khemah. Hantar bantuan dan chow terus ke rumah lain. Simple,” ujar seorang wargamaya.

Takde masalah pun sebenarnya ahli politik bagi bantuan tanpa ada majlis ni. Beliau tetap dihormati. Tak mcm orang lain tu. Ingat dia tua, orang lain wajib hormat dia, nak bagi bantuan kena ada majlis. Bagus YB buat kerja mcm ni. Teruskan usaha,” puji seorang wargamaya.

Serius lah YB takde tampal sticker muka besar-besar kat kotak tu haha tu? Tengah trend kot sekarang ni,” usik seorang wargamaya.

Malaysia perlukan lebih ramai orang macam Syed Saddiq dan Ebit Lew,” kata seorang wargamaya lagi.

Sehingga kini, video tersebut telah mendapat hampir 700,000 tontonan dan 13,000 tanda suka daripada warga Twitter.