Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Tiada Sebab Untuk Sherry Cemburukan Saya Dengan Fattah – Ruhainies

Ahmad Shah 24/03/2016 | 05:03 MYT
Pelakon baru, Ruhainies menjelaskan yang tiada sebab untuk aktres Sherry Ibrahim yang juga kekasih kepada aktor Fattah Amin untuk cemburu terhadap dirinya.

Menerusi ruangan gosip di sebuah akhbar pada Ahad lalu, timbul dakwaan mengatakan ada pihak yang cemburu apabila nama Ruhainies disenaraikan bersama Fattah untuk mengikuti sebuah program percutian bersama peminat di Bali, Indonesia.

Rentetan daripada gosip itu, ada yang mengandaikan bahawa kekasih Fattah merupakan individu dimaksudkan sebagai pihak yang cemburu dengan Ruhainies dan ia telah menyebabkan nama Ruhainies digugurkan dari mengikuti percutian tersebut.

“Saya sendiri tak tahu yang nama saya disenaraikan untuk menyertai program percutian itu. Selepas membaca gosip tersebut, barulah saya tahu yang mereka mempunyai perancangan untuk membawa saya.

“Saya sendiri kurang pasti kenapa nama saya dibatalkan. Namun begitu, saya rasakan tidak timbul isu cemburu. Tiada sebab untuk Sherry cemburukan saya dengan Fattah. Hubungan antara saya dan Fattah berlangsung secara profesional. Hubungan saya dan Sherry juga baik-baik sahaja,” kata Ruhainies.

Bergandingan bersama Fattah dalam drama bersiri Hello Mr. Perfect, Ruhainies sedar ada antara peminat mahu melihat dirinya dan Fattah menjadi kekasih di alam realiti.

“Ada peminat yang mahu melihat saya dan Fattah berkasih di luar set penggambaran. Mungkin impak drama bersiri tersebut begitu melekat di hati peminat.

“Namun begitu, saya tahu batas hubungan saya dan Fattah. Dia mempunyai kekasih dan sebagai seorang wanita, saya sendiri tahu menjaga diri saya,” katanya yang ditemui di sidang media finalis Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 29 (ABPBH29).

Tercalon dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular di ABPBH29, Ruhainies berterima kasih kepada peminat yang memberi sokongan terhadapnya sebagai salah seorang pendatang baru dalam dunia hiburan.

“Saya bersyukur kerana nama saya dicalonkan dalam senarai akhir kategori tersebut. Sebagai pendatang baru, saya berterima kasih atas pencalonan ini dan mahu meningkatkan usaha saya dalam memberi hasil lakonan terbaik kepada penyokong di luar sana,” katanya.

Teks oleh: Kamaruddin Razal

#Fattah Amin #Sherry Ibrahim #Ruhainies
;