Tiada Sempadan Lontaran Suara! Aru Peruzza, Radhi OAG & Fathul Spiral Kinetic Circus Reunion Dalam Pekik
Mya Amri
01/04/2023 13:56 MYT
01/04/2023 13:56 MYT
Underground, Urban, Indie. Inilah antara sebutan yang memetakan evolusi pergerakan muzik bebas di Malaysia semenjak penghujung ‘80an sehingga sekarang.
Suatu pergerakan bingit, ikhlas, memberontak, berjiwa muda dan pelbagai lagi superlatif yang kekal disalah fahami sehingga sekarang oleh majoriti pemerhati yang menanggap dari luar.
Movement. Semangat setia kawan seumur hidup demi perjuangan bersama. Maka terlahirlah Pekik.
Pekik merupakan sebuah dokumentari baharu dari Stereo Pixels ini mengisahkan tentang kisah silam muzik bebas di Malaysia yang memfokuskan kepada watak-watak penggerak, atsmosfera sekeliling ‘scene’ & semangat kental penggerak-penggerak sejak dari revolusi asal.
Dengan menggabungkan temu ramah dan futej persembahan band dalam usaha untuk menjejak perkembangan ‘scene underground’ di negara ini.
Bermula dari sekitar akhir 80an sehinggalah meletusnya fenomena muzik indie – sekitar 2 dekad selepas itu, Pekik cuba untuk menyingkirkan mitos negatif yang sering menyelubungi ‘scene’ ini dengan menggambarkan subkultur ini dengan lebih tepat melalui perkongsian cerita oleh watak- watak penggerak ‘scene’.
Pasukan pembikin filem ini sendiri cukup pengalaman dalam peranan sebagai ‘gig-goers’ yang bebas menjiwai bunyi- bunyian dari tengah-tengah moshpit.
Apa yang menarik, Pekik adalah seakan sebuah ‘reunion’ di antara pemuzik-pemuzik yang terlibat di awal pembentukan scene muzik underground, antaranya Aru Peruzza, Radhi OAG & Fathul Spiral Kinetic Circus, di dalam sebuah dokumentasi yang belum pernah lagi seumpamanya diterbitkan di Malaysia sebelum ini.
Selain memfokuskan kepada perkongsian cerita oleh watak-watak penggerak ‘scene’ ini, Pekik juga turut menyelitkan persembahan secara ‘live’ band-band yang masih aktif dari dulu hingga kini antaranya Dead Mushroom, Couple & Restraint.
Muzik latar sepanjang dokumentari ini juga adalah merupakan muzik-muzik segar yang disampaikan oleh band-band independent tempatan dan dimuatkan di dalam album Runut Bunyi Rasmi (OST) Pekik.
Pekik disampaikan melalui konteks yang dipercayai masih kurang diceritakan lagi malah terlepas pandangan masyarakat umum.
Pekik diterbitkan dengan sokongan dari MyCreative Ventures yang merupakan salah satu agensi di bawah Kementerian Komunikasi & Digital.
Pekik kini ditayangkan di pawagam rumah anda iaitu Astro First bermula 1 April (hari ini).
Pekik juga boleh di strim melalui platform On Demand atau Astro Go.