Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

“Tiada Siapa Boleh Bantu, Kecuali...”- Sekali Lagi Positif Dadah, Ini Pesan Jamal Abdillah Kepada Mamat Exist

Syafiqah Jalal
18/09/2019 14:21 MYT
Penyanyi lagenda, Datuk Jamal Abdillah memahami hakikat bukan mudah untuk seseorang individu itu berubah apabila mereka mula melibatkan diri dengan najis dadah.

Namun, kata Jamal, tidak mustahil seseorang itu boleh pulih sepenuhnya jika dia kuat melawan dirinya sendiri.

“Saya tidak berani untuk menasihati sesiapa mengenai ini, tapi dari pengalaman saya bukan mudah seseorang itu untuk berubah dan pulih.

“Malah, saya boleh kata saya juga dalam proses pemulihan dan sesiapa yang pernah terlibat dalam najis dadah ini, bila-bila masa mereka boleh kembali.

“Apa yang pasti, mereka perlu kuat melawan diri mereka sendiri untuk menjauhkan daripada kembali terjebak,” katanya kepada Gempak.

Jamal ditemui selepas majlis pelancaran Majlis Malam Amal Pengasih yang menampilkan dirinya dan penyanyi Man Bai.

Penyanyi yang popular dengan lagu Seniman Menangis itu diminta mengulas mengenai vokalis asal kumpulan Exists, Mamat yang kembali terjebak dengan najis dadah baru-baru ini.

Mamat Exist ditahan pihak polis di Johor Bahru selepas disahkan positif dadah.

“Saya tidak begitu mengenali Mamat Exist, tapi apa yang saya boleh pesan dia harus bangkit dan fokus dengan tujuan hidupnya.

“Tiada siapa boleh membantunya kecuali dirinya sendiri. Tidak boleh salahkan sesiapa termasuk keluarga tapi dia harus melawan dirinya sendiri,” pesannya ringkas.

Mamat difahamkan masih terlibat dalam menjayakan Konsert Exists Reunion yang akan berlangsung pada 28 September ini di Stadium Malawati, Shah Alam.

Jamal dan Man Bai bakal beraksi dalam Majlis Malam Amal Pengasih pada 17 November ini di Hotel Istana Kuala Lumpur bermula jam 7.45 malam hingga 11 malam.

Majlis ini bagi menjana dana untjk menyiapkan fasiliti Rawatan & Pemulihan Dadah Pengasih di Cinta Manis, Bentong Pahang.

Tiket dijual serendah RM3,000 hingga RM5,000 semeja. Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi Atiqah Yusuf di 010-3935140 atau Abdul Ghani di 011-23847617.

#Dadah #Jamal Abdillah #Man Bai #Mamat Exist #Pengasih