Laman Utama
Tiadanya Mamat Khalid, Siapa Penyambung Legasi Seterusnya?
Mamat Khalid, insan yang mengajar penonton bergelak tawa menonton filem yang mentertawakan mereka. Sarat elemen satira dan kupasan isu sejagat, itulah sentuhan Mamat yang takkan dapat tergantikan oleh sesiapa.
Kehilangan Allahyarham Mamat pada 24 Oktober tahun lalu ketika di usia 58 tahun menjadi kehilangan besar buat industri seni negara.
Masakan tidak, ada saja buah tangannya tak kira duduk di kerusi pengarah atau mencanai penanya menghasilkan skrip filem dan apa saja karya seni, ia umpama satu magis. Luar biasa rasanya.
Sebagai bukti, filem Hantu Kak Limah pernah memecahkan rekod sebagai filem Melayu pertama yang mencatatkan kutipan pecah panggung bernilai lebih RM30 juta.
Ketika itu baru tahun 2007. Francais filem arahan dan terbitan syarikatnya, Enjit Semut Production berada di kedudukan teratas yang kekal relevan hingga sekarang. Mamat menjadi pencipta trend baharu kepada industri perfileman Malaysia.
Selepas Mamat, ada saja naskhah baharu yang dihasilkan oleh pelbagai karyawan tempatan yang menyuntik elemen humor dalam masa sama mengangkat nilai kekeluargaan, moral dan hiburan.
Benar, Mamat adalah seniman terulung yang tiada gantinya.
Perginya Mamat belum sempat tertunai hajat menyudahkan filem Kampung Pisang Berbuah Dua Kali. Pun begitu, anaknya, pewaris legasi Mamat, Mohd Khalid Amen meneruskan hal yang berbaki.
Biar air matanya tumpah di set Kampung Pisang Berbuah Dua Kali, Amen berjaya melunaskan impian terakhir arwah bapanya dengan jaya.
Sementelah, filem Kampung Pisang Berbuah Dua Kali kini telah siap dibikin dan bersedia untuk ditayangkan tidak lama lagi.
Kampung Pisang Berbuah Dua Kali telah menjalani penggambaran selama 10 hari dari 15 November lalu di sekitar Teluk Senangin dan Kuala Kangsar.
Naskhah terbabit menjadi karya terakhir yang ditulis oleh Allahyarham Mamat dua minggu sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Bakal disiarkan Astro First, filem itu dibintangi Aziz M Osman, Kazar Saisi, Bell Ngasri, Ahmad Yasin, Rashid Othman, Azman Naim, Datin Paduka Eina Azman dan ramai lagi.
Mengimbas semula, Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenar, Mohamad Mohamad Khalid, 58, menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak pada 24 Oktober lalu, jam 12.30 tengah malam.
Allahyarham meninggalkan balu, Hasmah Hassan dan lima anak. Selain Amen, arwah dan isteri dikurniakan empat anak lain iaitu Mohd Khalid Zaffa, Nor Sara, Mohd Khalid Adam dan Nur Hassanah.