Laman Utama
Tiara Dedah Rugi RM2 Juta, “Selama Ini Kami Hanya…”- Penangguhan Puteri Gunung Ledang Musical
Penularan wabak COVID-19 telah memberi kesan kepada seluruh industri di Malaysia termasuklah industri seni untuk terus beroperasi dan berjalan seperti biasa.
Ketua Pencetus Impian Kumpuan Enfiniti, Puan Sri Tiara Jacquelina kesan itu turut dirasainya selepas dia mengalami kerugian sebanyak RM2 juta selepas pementasan Puteri Gunung Ledang Musical (PGLM) ditangguhkan.
“Selama ini kami hanya mendengar rintihan pihak lain yang mengalami kerugian besar akibat wabak ini tapi kami sendiri tidak pernah dedahkan betapa peritnya kami pula lalui.
“Enfiniti mengalami kerugian besar iaitu sebanyak RM2 juta untuk pementasan PGLM sahaja.
“Kerugian ini diambil kira dengan produksi team kami seramai 180 orang yang dah bergaji bermula Disember tahun lalu.
“Kami juga sudah membelanjakan beratus ribu untuk peralatan teknikal seperti ‘projector screen’ dan sebagainya khas buat pementasan ini,” katanya.
Tiara berkata kepada Gempak selepas mengumumkan penangguhan pementasan PGLM yang sepatutnya berlangsung di Panggung Sari Istana Budaya pada 3 Julai ini.
Tambah Tiara lagi kerugian itu tidak dikira dengan kerugian yang dialami oleh Enfiniti secara keseluruhan.
“Pada tahun ini Enfiniti tidak dapat beroperasi seperti biasa kerana tiada pementasan yang boleh dilakukan.
“Yang hanya tinggal Enfiniti Academy dan juga EnfinitiV serta Tiarasa Escapes.
“Jadi kerugian keseluruhan dari RM2 juta bertambah lagi dalam RM1 juta lebih untuk keseluruhan kos operasi.
“Tapi apa lagi yang boleh kami lakukan kerana kerugian ini bukan kami sahaja alami malah semua industri seni di seluruh negara,” katanya lagi.
Saluran EnfinitiV kini sedang menayangkan kembali pementasan P. Ramlee The Musical serta The Secret Life of Nora untuk peminatnya.
Pelakon PGLM telah mula membuat latihan sejak Disember lalu dan buat masa ini semua latihan terpaksa ditangguhkan sehingga tarikh baru untuk pementasan teater tersebut diumumkan.
PGLM yang memasuki musim keempat itu telah memenangi lapan trofi pada Anugerah Boh Cameronian 2007 termasuk kategori Pengarah Terbaik, Skrip Asal Terbaik, Rekaan Bunyi dan Muzik Terbaik.