Penerbit dan pengasas Enfiniti (M) Sdn Bhd, Puan Seri Tiara Jacquelina menjelaskan pihaknya masih belum mempunyai perancangan untuk meneruskan pementasan Muzikal Puteri Gunung Ledang yang terpaksa dibatalkan tahun lalu.

Jelas Tiara, 55, seiring dengan peredaran teknologi yang semakin maju, dia berpendapat bahawa sudah tiba waktu untuk pihaknya membuat satu evolusi yang berlainan.

Bagaimanapun tidak menolak sekiranya suatu hari dia akan berubah fikiran.

“Sebagai sebuah syarikat, saya berpandangan bahawa perlu membuat satu perubahan dan membawa evolusi baharu.

“Pentas sedemikian sudah pernah Enfiniti lakukan seperti teater P Ramlee The Muzikal dan Ola Bola Bola, jadi sudah tiba masanya kami inginkan satu cabaran yang lain seiring dengan peredaran teknologi masa kini.

“Walaupun sekarang cara penyampaian karya saya melalui platform lain dan bukan dengan cara pementasan sahaja, namun berharap niat saya untuk menjadi seorang pencinta budaya dan kongsi kepada orang ramai dapat diteruskan.

“Apa pun untuk waktu sekarang, masih tiada perancangan untuk teruskan pementasan Puteri Gunung Ledang, namun siapa tahu kalau satu hari saya bangun tidur dan berubah fikiran kan,” ujarnya kepada Gempak.

Tiara berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Dream Forest Langkawi yang berlangsung di Petaling Jaya pada Rabu.

Terdahulu, Enfiniti (M) Sdn Bhd menerusi satu kiriman memaklumkan pihaknya terpaksa membatalkan pementasan tersebut biarpun berasa berat hati.

Malah, pihaknya juga telah mengembalikan semula bayaran tiket secara berperingkat kepada pembeli yang sudah membuat tempahan awal.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.