Hiburan
Tiba Masa Saya Tinggalkan Wings, Tiada Dendam – Joe
Pemain gitar terkenal Abdul Zamin Abdul Kadir atau Joe, 48, berkata sudah tiba masanya dia meninggalkan kumpulan Wings tanpa sebarang dendam.
Tambah Joe lagi dia tidak mahu memanjangkan perkara tersebut dan meminta peminat menerima kenyataan dirinya tidak lagi bersama Wings.
"Saya terima qada dan qadar, tak perlulah toleh ke belakang lagi. Dalam mana-mana kumpulan mesti ada kontroversi.
"Ini lumrah dunia seni. Mungkin satu hari nanti kami boleh berkolaborasi manakala kemunculan Prime Domestic pula beri saingan sihat kepada kumpulan rock sedia,” katanya.
Bagaimanapun, bekas gitaris utama Wings itu enggan mengesahkan dakwaan Awie samada dia mengundur diri atau disingkir daripada kumpulan rock tersebut.
"Samada saya mengundur diri atau dibuang tak perlulah dipersoalkan dan biarlah menjadi rahsia kami berempat (anggota Wings).
“Bagaimanapun hubungan kami kekal baik dan saya mengharapkan penyokong Wings menyokong konsert Wings & Superfriends-Belenggu Irama yang akan berlangsung di Istana Budaya tidak lama lagi," ujarnya.
Joe turut mendoakan kejayaan Wings termasuk konsert di Istana Budaya namun tidak bercadang duduk semeja berbincang dalam masa terdekat.
"Rasanya tak perlulah berbincang. Bagaimanapun saya okay sekiranya terserempak mereka di mana-mana majlis atau acara," katanya.
Pengunduran Joe menyaksikan Wings kini dianggotai Awie sebagai vokalis, Eddie (bass) dan Black (dram).
Berita pengguguran Joe daripada Wings tular di Internet sejak tempatnya digantikan Edrie Hashim dalam konsert Wings yang berlangsung di Melaka hujung tahun lalu.
Krisis antara mereka tercetus berikutan dakwaan mengatakan Joe punca kumpulan itu membatalkan Konsert 30 Tahun Wings yang sepatutnya berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Disember 2016.
Joe berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media bersama kumpulan barunya iaitu Prime Domestic di G-Tower, petang Rabu.
Sumber: Harian Metro