Sejak diperkenalkan pada penonton, watak Esra lakonan Emma Sofea menerusi drama bersiri I-Tanggang boleh dikategorikan sebagai watak yang paling dibenci ramai.

Selain sikapnya yang manja, Esra cukup terkenal sebagai anak tunggal yang lahir dalam keluarga berada, tetapi biadab tingkah lakunya.

Begitpun, persepsi penonton terhadap watak tersebut berubah menerusi episod 6 drama I-Tanggang yang disiarkan semalam.

Hal ini kerana, penonton dapat menyaksikan kesungguhan Esra untuk menyelamatkan Khay (Danish Hazriq) yang selama ini tidak sedar bahawa dirinya telah didera oleh ibunya sendiri.

Menerusi maklum balas penonton yang dikutip daripada laman Twitter, ramai dilihat memuji sikap Esra yang bijak dan lekas bertindak menyelesaikan persoalan yang bermain dalam fikiran Khay.

“Keseluruhan siri tak suka dan rimas dengan Esra, sampai episod ni, terus macam yass girl, nasib baik ada yang bijak dalam geng #ITanggang ni,” tulis seorang pengguna Twitter.

Kemudian, seorang lagi pengguna Twitter turut memuji tindakan Esra dan menggelarkan watak gadis itu sebagai ‘jahat-jahat cerdik’.

“Jahat-jahat cerdiklah budak perempuan dalam I-Tanggang ni,” tulisnya sambil meletakkan emoji tertawa.

Kemudian, ada juga yang menyamakan kebijaksanaan Esra dengan watak kartun popular dari Jepun, Detektif Conan.

“Aku kehilangan kata-kata sekejap, Esra panggil orang bodoh, tak sangka dia bijak dari Detektif Conan. Sekejap sahaja tahu Erma nak bunuh Khay… Tak boleh terima aku berpihak pada Esra hari ini,” ulas seorang lagi pengguna Twitter.

I-Tanggang mengisahkan tentang Khalil Rayyan atau Khay, penghidap kanser yang memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Erma, ibu kepada Khay pula merupakan seorang influencer (pempengaruh) media sosial, penulis buku dan penjual minyak aromaterapi yang berjaya.

Konflik tercetus apabila Khay bertemu dengan dua rakan virtualnya, Royal-E (Esra) dan CapeqRyder (Syafiq) lalu menubuhkan kumpulan sembang ‘I-Tanggang’.

Dilakonkan oleh Faizal Hussein, Sherie Merlis, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofea, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Sofia Jane dan Andy Teh drama I-Tanggang disiarkan setiap Isnin, bermula 13 September 2021 pukul 9 malam di Astro Citra.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!