Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Tiba-Tiba Nak Jadi Muse, Minta Token Saat Akhir" - Karl Shafek Sentap Dengan 'Datuk Selebriti'?

Amri Hassan
20/08/2022 03:49 MYT
Main tarik tali! Itu yang berlaku antara pengacara dan pereka fesyen jenama Neonate Clothing, Karl Shafek Ibrahim dan seorang individu berpangkat 'Datuk'.

Kongsi Shafek menerusi hantaran di media sosialnya, individu yang juga seorang selebriti itu didakwa mahu menjadi muse atau wajah ilham untuk memperagakan busana terbaharu rekaannya di Kuala Lumpur Fashion Week 2022 (KLFW2022) pada Ahad ini saat-saat akhir.

Lebih mengejutkan, individu terbabit meminta bayaran saguhati untuk mengadiri acara berkenaan.

"Saya tidak akan benarkan pertunjukan fesyen saya jadi tempat awak jadikan platform untuk jumpa media. Bila awak tiba-tiba nak jadi 'muse' saya pada saat akhir dan minta token (sagu hati), buat saya rasa sangat mual nak muntah.

"Dua bulan lepas saya pernah hubungi awak untuk jadi rakan jenama saya dan saya tawar awak jadi 'muse' saya kalau awak setuju. Mula-mula awak balas dengan semangat tapi bila saya hantar 'proposal' (kertas kerja) awak terus 'bluetick' (tidak membalas) saya," tulisnya dalam satu hantaran terbaharu di Facebook.

Menurut Shafek, dia tidak akan membiarkan individu itu merosakkan pertunjukan fesyen yang sudah dirancang sejak tiga bulan lalu.

"Maaf saya dah bersungguh-sungguh selama dua, tiga bulan untuk buat koleksi dan pertunjukan fesyen terbaik dalam hidup saya. Saya percaya awak akan hancurkan acara saya nanti menjadi persembahan awak. Sumpah," tulisnya.

Pertunjukan fesyen Neonate Clothing sempena KLFW2022 bakal berlangsung pada pukul 5 petang Ahad ini.

#Viral #Kontroversi #Karl Shafek #Datuk #Muse #Neonate Clothing #KLFW2022 #Token
;