Pelakon Sweet Qismina memberitahu tidak ada isu yang perlu diperbesarkan tentang foto penyanyi Wani Kayrie dan pemain Harimau Muda, Safawi Rasid.

Sweet berkata, Safawi yang juga pemain bola sepak pasukan Johor Darul Takzim (JDT) itu mempunyai hak untuk berkawan dengan sesiapa sahaja.

Kata Sweet lagi, dia dan Safawi hanya teman biasa dan sudah mengenali jejaka berusia 20 tahun itu ketika bertugas sebagai pengacara program Planet Bola pada tahun lalu.

"Saya dah kenal Safawi sejak jadi pengacara Planet Bola tapi masa itu kami tak pernah bertegur dan saya sekadar tahu dia pemain JDT tetapi baru-baru ini kami bertegur di Instagram.

"Kebetulan pula saya memang minat bola sepak, jadi bila berborak banyak cerita tentang kerjaya dan bola sahaja," ujarnya.

Tambah Sweet, sepanjang perkenalan itu mereka tidak pernah berkongsi tentang hal peribadi dan hanya bercakap tentang kerjaya masing-masing.

Baru-baru ini Instagram Wani dan Sweet menjadi perhatian pengikut masing-masing apabila memuat naik foto bersama Safawi.

"Saya tahu Wani ada memuat naik foto bersama Safawi pada hari yang sama dan rasanya tidak akan timbul masalah antara kami bertiga.

"Lainlah kalau hubungan saya dan Wani tidak baik, baru ada isu boleh dibangkitkan.

"Saya pun tak kisah tentang perkara itu kerana itu hak Safawi mahu berkawan dengan sesiapa sahaja," katanya.

Pada malam perlawanan separuh akhir Malaysia menentang Indonesia pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (SEA2017), Sweet turut berada di Stadium Shah Alam untuk memberi sokongan.

Sumber: mStar Online