Laman Utama
Tidak Benci Anak, Ibu Hannah Delisha Beri Bayangan Wujud Masalah Dengan Menantu - "Tidak Reda & Restu Dengan Cara ..."
Ibu kepada aktres Hannah Delisha iaitu Noor Ashikin Ahmad sekali lagi tampil memberi bayangan terbaharu mengenai konflik yang mungkin berlaku antara dia dan anak kandungnya.
Menerusi hantaran yang ditulis,'sang ibu' dalam kisah ini cuba menyampaikan dengan menyatakan yang dia tidak membenci anaknya.
Sebaliknya, Noor Ashikin seakan mendedahkan timbul permasalahan antara dia dan pasangan pilihan anaknya itu sebelum mereka berkahwin.
"Harus di fahami, bahawa Sang Ibu tidak restu dan reda dengan cara, etika dan norma perkara ini dikendalikan. Sang Ibu serta keluarganya, hanya tahu tentang berita pernikahan sang anak ,sewaktu yang sama dengan anda.
"Sang Ibu adalah ibu tunggal melahirkan, membesarkan dan mendidik sang anak tunggal.
"Beliau tidak merestui perhubungan sang anak dan pasangannya sejak mereka belum bernikah lagi kerana kejadian ‘Al-Kisah yang membelenggu’ yang terjadi di antara sang ibu dan pasangan sang anak," tulisnya di Instagram (IG).
Dalam pada itu, Noor Ashikin seperti sedang meluahkan perasaan yang dirasainya sejurus mengetahui berita perkahwinan anaknya walaupun tidak mendapat restu.
"Sang ibu sudah tidak restu daripada awal lagi perhubungan mereka kerana apa yang terjadi.
"Tetapi, pernikahan tersebut tetap dilanjutkan tanpa pengetahuanya. Kita gunakan akal sihat untuk berfikir sejenak.
"Sang Ibu tidak membenci sang anak, tetapi tidak reda dan restu dengan cara, etika dan norma perkara ini dikendalikan oleh sang suami pada anaknya serta cara pihak yang sewaktu dengannya, mengendalikan perkara ini.
"Pasti sang suami mempunyai seorang 'ibu'. Bagaimana rasanya jika ini terjadi pada diri ibu sang suami dan keluarganya?" tulisnya lagi.
Di bahagian bawah nukilan itu, Noor Ashikin seolah cuba menyampaikan ini adalah penulisannya yang terakhir mengenai isu ini.
Terdahulu, Hannah atau nama sebenarnya Hannah Adlina Blackburne Birch, 25, mengejutkan ramai orang apabila berkongsi foto perkahwinannya dengan aktor Singapura, Imam Shah, 32, pada 18 Februari.
Nama pelakon drama Cinta Sekali Lagi mula terpalit dengan kontroversi panas selepas ibu kandungnya sendiri tampil memberi bayangan bahawa perkahwinan itu tidak direstui.
Diikuti pula dengan tarikh perkahwinan yang menjadi isu selepas foto pelakon Eleena Sui duduk di pelamin seakan mirip dengan Hannah namun tarikh dikongsi adalah pada 19 Februari 2020.
Malah, ibu mentua Hannah iaitu Mariana Yati turut memberi sokongan dengan menitipkan pesanan agar anak dan menantunya itu terus bersabar dalam melayari bahtera rumah tangga.