Pelakon Mira Filzah menyifatkan tindakan individu yang menembak seekor monyet gara-gara tidak menyebut 'baby sayang' sebagai tidak berperikemanusiaan.

Menurut pelakon cantik itu, dia tidak menyangka fenomena 'baby sayang' menjadi begitu serius sehingga mampu menyebabkan isu negatif di media sosial.

Menurutnya, perkataan baby sayang itu sendiri sebenarnya perlu dilihat sebagai satu gelaran yang sangat positif.

"Baby sayang sebenarnya satu perkataan yang sangat sopan dan baik kerana ia nama panggilan manja untuk orang tersayang.

"Oleh sebab itu, Mira tidak terfikir pun orang gunakan panggilan itu sebagai benda yang tidak baik seperti membunuh haiwan," katanya.

Jelas Mira lagi, perkara negatif terbabit bukan di luar kawalannya sebalikyna individu yang melakukan perkara berkenaan seharusnya bertanggungjawab.

"Kejadian ini memang tidak berkeperimanusiaan. Orang ramai seharusnya melakukan platform media sosial ini untuk perkara yang baik-baik bukannya membuat perkara negatif seperti ini," katanya.

Sebelum ini, rakaman video berdurasi 20 saat itu tular di media sosial sejak minggu lalu.

Rakaman berkenaan memaparkan tindakan lelaki meminta haiwan yang dikurung di dalam sangkar untuk menyebut perkataan ‘baby sayang’ sambil mengacu pistol.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan kemudian melepaskan satu das tembakan di kepala yang mengenai kepala haiwan berkenaan selepas kiraan tiga.

Untuk makluman, panggilan 'baby sayang' mula meraih perhatian selepas netizen mengemukakan soalan kepada Mira Filzah.

Panggilan itu kemudian tular di media sosial dan menjadi fenomena khususnya golongan muda.

Terdahulu Mira Filzah ditemui pada majlis pelancaran telefon pintar Honor 20 di W Hotel, Kuala Lumpur.


Honor 20 hadir skrin 6.26-inci dengan rekaan skrin berlubang, cip Kirin 980, memori 6GB RAM, dan storan 128GB.

Di Malaysia, Honor 20 akan dijual pada harga RM1699.