Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Berita

Tidak Boleh Salam, Cium, Jaga Jarak & Guna Cecair Pembasmi Kuman Ketika Beraya

Azwa Rahman 12/05/2020 | 07:54 MYT
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham menegaskan bahawa orang ramai tidak dibenarkan bersalaman dan berciuman sepanjang perayaan Aidilfiti bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.
Tambahnya, amalam lazim yang sering diamalkan pada setiap sambutan lebaran itu perlu digantikan dengan penjarakan sosial yang merupakan satu garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memutuskan rantaian wabak merbahaya ini.
"Tiada salam-salam, cium-cium, jaga jarak selamat dan gunakan cecair pembasmi kuman," katanya kepada Sinar Harian pada sidang akhbar perkembangan terkini COVID-19 semalam.
Menurutnya, penjarakan sosial perlu dipastikan bagi melindungi golongan berisiko terutamanya warga emas.
Sementara itu menurutnya, cadangan 20 orang beraya di sesebuah rumah adalah melibatkan kumpulan ahli anggota keluarga termasuk anak dan cucu.
Katanya, nombor berkenaan adalah relatif berdasarkan keluasan sesebuah rumah.
"Jika 20 orang di sebuah pangsapuri, ia adalah sesak dan dikira telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) KKM.
"Apa yang penting, dalam tempoh masa tersebut adalah penjarakan sebagaimana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin katakan," jelasnya.
Terdahulu pada Ahad, Muhyiddin dalam perutusan khasnya berkata, kerajaan memberi kelonggaran dengan membenarkan aktiviti ziarah bersama jiran terdekat dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.
#Aidilfitri #COVID-19 #Penjarakan Sosial
;