Laman Utama

Tidak Dapat Hantar Jemaah Haji Tahun Ini, Menteri Hal Ehwal Agama Mohon Maaf Kepada Rakyat Malaysia

gempak
Fiza Kamarudin
13/06/2021
05:40 MYT
Sponsor Banner
Tidak Dapat Hantar Jemaah Haji Tahun Ini, Menteri Hal Ehwal Agama Mohon Maaf Kepada Rakyat Malaysia
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana tidak dapat menghantar jemaah haji bagi musim haji 1442H.
Ia selepas kerajaan Arab Saudi memutuskan ibadah haji bagi tahun ini dihadkan hanya untuk warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara tersebut sahaja.
“Saya memohon maaf kepada semua bakal jemaah haji yang amat cinta dan rindukan dua Tanah Suci kerana terpaksa menangguhkan ibadah haji pada tahun ini.
“Keputusan ini sudah pasti amat berat dan sukar untuk diterima, tetapi kita tetap yakin dengan hikmah di sebalik keputusan tersebut.Saya menginsafi situasi yang sedang kita hadapi mutakhir ini sebagai sebuah ujian yang amat berat.
“Pun begitu, saya tetap yakin dengan doa dan munajat kita semua yang sudah pasti pandemik COVID-19 akan berlalu pergi dari kamus kehidupan kita,” katanya.
Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan, pihaknya akur dengan keputusan itu.
“Saya ingin menyatakan bahawa Malaysia tidak akan menghantar jemaah haji bagi musim haji 1442H, akur serta menghormati keputusan kerajaan Arab Saudi yang hanya membenarkan ibadah haji dijalankan bagi warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara tersebut,” katanya.
Kerajaan bagaimanapun akan memastikan segala urusan rakyat Malaysia yang telah berada di sana dan terpilih untuk melaksanakan ibadah haji bagi musim haji 1442H diuruskan dengan sebaiknya.
“Saya akan memastikan segala urusan rakyat Malaysia yang telah berada di sana dan terpilih untuk melaksanakan ibadah haji bagi musim haji 1442H diuruskan dengan sebaiknya oleh Lembaga Tabung Haji, selaras dengan prosedur standard operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi,” tambahnya lagi.
Dr Zulkifli mengesahkan perkara berkenaan selepas menerima panggilan telefon daripada Tuan Yang Terutama Dr. Abdelfattah Sulaiman Mashat, Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi berkenaan keputusan kerajaan Arab Saudi bagi penglibatan jemaah haji daripada negara luar bagi musim haji 1442H.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live