Pelakon dan pengacara Janna Nick memohon maaf selepas memuat naik foto wajahnya cedera seperti dipukul yang telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan warganet.

Jelas Janna, niat sebenarnya adalah untuk menyahut cabaran dalam memberi kesedaran mengenai keganasan rumah tangga.



"Terima kasih semua yang mesej (DM) risau pasal entri sebelum ini. Sampai ada yang menghubungi pengurus saya. Marah-marah suruh call polis...Maaf sangat-sangat!

"Saya ternampak cabaran #mugshot dan fikir bagaimana saya boleh melakukan sesuatu yang berbeza untuk membantu memberi kesedaran kepada sesuatu yang penting bagi saya.

"Penderaan rumah tangga adalah perkara serius yang kebanyakannya tidak disedari. Saya ingin menjelaskan perkara ini dan membantu memberi kesedaran. Terima kasih kepada semua yang membantu saya menyebarkan mesej," tulisnya di Instagram (IG).

Dalam pada itu, pelakon drama Demi Rindumu memohon kepada individu yang pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga untuk tampil mempertahankan diri.

"Kepada mangsa atau sesiapa yang pernah menjadi mangsa keganasan domestik, jangan takut untuk bersuara, atau melepaskan diri apabila perlu.

"Anda lebih layak mendapat yang terbaik dan ingat itu, cintai diri anda. Terima kasih kepada semua yang bantu saya sebarkan mesej itu," katanya lagi.

A post shared by Janna Nick (@jannanick) on