Penyanyi Zee Avi mengakui minatnya terhadap bidang muzik menyebabkan dia tidak gemar kepada beg tangan atau kasut berjenama mewah.

Menurut Zee Avi atau nama sebenarnya Izyan Alirahman, 32, dia lebih menyukai barangan berkaitan alat muzik memandangkan dirinya merupakan seorang wanita yang ringkas.

"Buat masa sekarang saya masih tidak mempunyai pasangan namun jika ada calon untuk menjadi suami, dia tidak perlu risau untuk membeli barangan mewah kerana saya tidak gemar beg tangan dan kasut berjenama.

"Tetapi bagi saya cukulah sekadar dia memberi hadiah alatan muzik kerana itu lebih penting bagi saya sebagai anak seni.

"Saya juga mahu seseorang itu dapat menerima dan memahami karier saya serta dapat menerima segala kelebihan dan kekurangan saya.

"Apa yang penting lelaki tersebut harus menerima makanan saya iaitu masakan melayu dan ulam-ulaman," katanya kepada Gempak.

Zee berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media konsert sempena Hari Wanita Antarabangsa 2019 bersama NJWA, di PWTC, Kuala Lumpur pada Rabu.

Orang ramai yang ingin menyaksikan persembahan konsert Zee Avi dan NJWA sempena Hari Wanita Antarabangsa 2019 boleh dapatkan tiket di airasiaredtix.com.

Tiket dijual pada harga RM88, RM128, RM188, RM228, RM288 dan RM388 (Meet and Greet).