HIBURAN

Tidak Mahu Panjangkan Isu Melibatkan 4U2C, Ajai Tampil Mohon Maaf - “Ia Bukan Bertujuan Untuk…”

Asyraf Roslan 02/07/2025 | 13:55 MYT

Penyanyi dan komposer, Ajai tampil memohon maaf berhubung kenyataan yang dikeluarkannya ketika mengulas mengenai isu hak cipta yang melibatkan kumpulan, 4U2C.

Menurut Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas, kenyataan yang dikeluarkannya bukan bertujuan untuk menyinggung atau menyekat mana-mana pihak daripada terus berkarya.


“Saya ingin menjelaskan kenyataan saya sebelum ini berkenaan konsert 4U2C.

“Sekiranya kenyataan saya telah disalah tafsir atau menyinggung mana-mana pihak, saya mohon maaf,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di Instagram.

Dalam pada itu, Ajai turut menegaskan bahawa dia sentiasa menyokong perkembangan industri muzik tanah air dan berharap semua pihak dapat menyelesaikan perbezaan pandangan secara matang.

“Ia bukan bertujuan untuk menghalang mana-mana pihak daripada berkarya. Saya menyokong usaha mana-mana artis untuk terus berkarya dan berharap segala perkara dapat diselesaikan secara baik dan berhemah,” tulisnya lagi.

Sebelum ini, anggota kumpulan 4U2C, Datuk AC Mizal, meluahkan rasa kecewa terhadap komposer, Ajai, yang tampil memberi kenyataan berkaitan isu hak cipta lagu melibatkan kumpulan berkenaan.

Menerusi kenyataan kepada media, Ajai dipercayai berkata bahawa konsert 4U2C tidak sepatutnya diteruskan kerana pemilik asal ‘bunyi’ lagu-lagu kumpulan itu ialah Man Senoi.


Terdahulu, kontroversi ini mula tercetus apabila komposer Man Senoi dan isterinya, Mama Rap yang mendakwa tidak dimaklumkan tentang penganjuran We 4U2C Live In Concert walaupun mendakwa memiliki hak cipta sepenuhnya ke atas 25 lagu milik kumpulan hip hop 4U2C menerusi syarikat mereka, Zman Production.

Man Senoi dilaporkan mempersoalkan bagaimana pihak 4U2C mahu meneruskan konsert jika sebahagian besar lagu yang bakal dipersembahkan adalah milik syarikatnya secara sah.

Kenyataan tersebut kemudiannya mengundang pelbagai reaksi termasuk daripada peminat, industri muzik serta individu dalam bidang seni tanah air, termasuk komposer Ajai yang turut menyatakan pandangan secara terbuka kepada media.


#Konsert #Ajai #4U2C #Isu Hak Cipta