Tidak pernah berhasrat untuk menyembunyikan daripada masyarakat, sebaliknya, keputusan
tidak menghebahkan perceraian adalah semata-mata kerana perkara itu terlalu peribadi.

Itu kenyataan pelakon Vanidah Imran mengulas mengenai entri bekas suami, Rashidi Ishak
di laman Instagram peribadinya mengenai berita perceraian mereka.

Bagi Vanidah atau lebih mesra disapa Vee, perceraian yang terjadi selepas 18 tahun usia
perkahwinan mereka diambil menerusi persetujuan bersama.

BACA: “I Was Not At All A Good Imam,” - Rashidi Ishak, Vanidah Imran Bercerai

Kata Vanidah, tidak berlaku sebarang pertengkaran antara dia dan Rashidi yang akhirnya
membawa kepada keruntuhan rumah tangga mereka.

Dalam masa sama, Vanidah berkata, dia sedar bahawa perceraian bukan sesuatu yang
disukai di dalam agama, namun memahami bahawa perpisahan juga dibolehkan dengan alasan
dan sebab-sebab tertentu.

“Segala apa yang berlaku ada sebabnya. Demikian juga rumah tangga saya dengan Shidi.
Sudah tentu perkara ini (perceraian) berlaku kerana ada sebab-sebab yang biarlah kami
sahaja yang tahu.

“Saya fikir adalah tidak manis untuk saya berkongsi punca perceraian kerana mendedahkan
hal itu seperti membuka aib kami berdua,” kata Vanidah.

Selama tujuh bulan bergelar ibu tunggal kepada dua cahaya mata Mikhail Aimran, 18 dan
Maryam Rashika, 15, pelakon filem Perempuan Melayu Terakhir itu berkata, dia sudah mula
menerima ketentuan bahawa jodohnya dengan Rashidi hanya bertahan setakat itu sahaja.

Sekalipun sudah tidak bersama sebagai suami isteri selepas sah bercerai pada 9 Ogos
tahun lalu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, namun Rashidi, kata Vanidah, masih
mengambil berat dan perhatian kedua-dua permata hati mereka.

“Seperti yang saya katakan, kami bercerai cara elok, tiada pergaduhan. Kata sepakat
dicapai selepas perbincangan yang panjang.

"Demi masa depan anak-anak, kami sepakat untuk tidak bersengketa. Bahkan, saya dan
Shidi akan terus bersahabat. Itu ikrar kami,” ujar Vanidah lagi.

Pasangan Rashidi dan Vanidah mendirikan rumah tangga pada 2000.

Sumber: Astro Awani