HIBURAN

Tidak Memilih, Usop Wilcha Sanggup Terima Watak Sampingan Sebab…

Ainun Md Zooki 28/07/2025 | 08:55 MYT
Pelakon veteran, Usop Wilcha akui tidak mahu terlalu memilih dalam menerima tawaran lakonan memandangkan peluang untuk pelakon seusianya kini semakin terhad.

Menurut Usop atau nama sebenarnya Syed Mohamad Asri Syed Zainal Abidin Jamalullail, biasanya dia hanya ditawarkan watak-watak sokongan seperti bapa atau ketua kampung sahaja.


“Bagi pelakon berusia, kalau ada watak pun hanyalah jadi bapa atau ketua kampung.

“Pasaran untuk hero lama yang berusia lebih 50-an semakin kecil,” katanya kepada Gempak.

Usop berkata demikian ketika menghadiri majlis pelancaran drama Abang Imam Minah Skuter dan sesi pickle ball bersama Viu di Lumi Tropicana, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Tambahnya lagi, ada juga beberapa syarikat produksi yang risau untuk menawarkan watak serius kepadanya seperti Tan Sri atau antagonis kerana bimbang tidak sesuai dengan imejnya yang terkenal dengan karakter komedi.

“Ada syarikat produksi risau nak beri watak serius, misalnya jadi Tan Sri atau watak jahat.

“Mungkin sebab orang dah biasa tengok saya dalam karakter lucu,” jelasnya.

Bagaimanapun, Usop tidak menyalahkan mana-mana pihak malah memahami dilema yang dihadapi oleh penerbit dalam membuat keputusan berkaitan pemilihan pelakon.

“Saya faham situasi penerbit yang keluarkan wang. Mestilah mereka mencari pelakon yang ada nilai komersial untuk watak tertentu. Itu normal dalam industri,” kongsinya.

#Usop Wilcha #Watak #Terima #Sampingan