“Tidaklah Sehingga Sengaja Mencari Publisiti Murahan…” - Siti Khadijah
Asyikin Mayudin
19/02/2023 03:50 MYT
19/02/2023 03:50 MYT
Enam tahun membina nama dalam industri seni, pelakon Siti Khadijah Halim masih berpegang kepada prinsipnya iaitu enggan terburu-buru dalam mengecapi populariti.
Mengambil keputusan untuk menjadikan bidang seni sebagai kerjaya, Siti Khadijah enggan menggunakan publisiti murahan sebagai jalan pintas sebaliknya mahu mempertaruhkan bakat dalam bidang lakonan.
“Apabila saya memilih bidang seni sebagai kerjaya, saya memandang industri ini sebagai serius dan bukan sekadar main-main. Biarlah mengambil masa yang lama namun saya tidak mahu menggunakan jalan pintas.
“Tidaklah sehingga sengaja mencari publisiti murahan untuk menaikkan nama. Jika terpalit dengan sebarang kontroveri, biarlah ia datang secara semula jadi.
“Apabila waktu itu tiba, saya harus menghadapinya dengan matang. Tidak dinafikan ada yang melihat saya sebagai sombong dan sukar didekati kerana saya meletakkan batas atau benteng ketika bekerja.
“Mungkin juga saya mempunyai masalah sukar mempercayai orang. Dan itu juga membuatkan orang melihat saya sebagai sombong atau sukar untuk didekati,” katanya.
Kata pelakon drama Dukun Diva itu lagi, dia juga mahu memperbaiki diri dan menjadi insan yang lebih baik dalam setiap segi pada tahun ini.
“Saya mahu menjadi insan yang lebih baik, malah berharap menjadi contoh dan inspirasi buat anak muda lain.
“Ada peminat mengagumi pencapaian saya dan mahu mengikut jejak langkah. Saya gembira dengan reaksi positif yang diterima dan mahu orang lain juga mencatat kejayaan sama. Saya mahu menjadi contoh yang baik kepada mereka,” katanya.
Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.