Hiburan
"Tidurkan Eidrees Sebelum Take Off & Landing" - Ini Tips Anzalna Bawa Anak Umur 3 Bulan Melancong Jauh
Pelakon Anzalna Nasir akui risau dengan keadaan anaknya, Mohamad Eidrees yang baru berusia tiga bulan yang dibawa melancong ke Paris, Perancis minggu lalu.
Jelas Anzalna, dia risau sekiranya Eidrees akan menangis ketika dalam penerbangan dan situasi itu akan menyebabkannya panik.
"Sebagai ibu muda yang baru pertama kali menimang anak, ini juga pengalaman baru untuk saya membawa anak kecil mengembara dalam tempoh yang panjang dan jauh.
"Mujur, Eidress memudahkan urusan saya dan langsung tidak meragam sepanjang penerbangan ke Paris minggu lalu.
"Saya sebenarnya risau juga, takut berdepan situasi yang saya sendiri tidak boleh uruskan. Apalah nanti yang perlu saya buat kalau tiba-tiba dia menangis dalam kapal terbang?" kata Anzalna kepada Gempak.
Pelakon cantik itu kini sedang berada di Paris, Perancis sejak seminggu lalu untuk menghadiri acara Paris Fashion Week selaku jurucakap jenama popular antarabangsa L'Oreal Paris.
Berkongsi sedikit tips membawa anak kecil menaiki kapal terbang untuk perjalanan yang jauh, kata Anzalna dia sudah menyediakan segala kelengkapan sekiranya perkara tidak diingini berlaku.
"Sebenarnya sebelum bertolak saya sudah menyediakan segala-galanya untuk Eidrees sebab takut.
"Tapi sebelum berlepas dan mendarat saya akan tidurkan dia sebab takut telinga dia berdengung dan tidak boleh seimbang," ujarnya.
Dalam perancangan Anzalna yang dijangka pulang ke tanah air pada minggu hadapan berkemungkinan akan menyambung percutiannya bersama suami dan anak tercinta di sana.
"Sekarang semuanya bergantung pada Eidrees. Mungkin akan sambung lagi kalau keadaan dia mengizinkan.
"Risau memang risau tetapi nampak gaya dia sangat suka melancong. Bolehlah bawa dia bercuti lagi selepas ini. Semoga semuanya baik-baik sampai kami balik nanti," tambah Anzalna.
Anzalna turut mendapatkan tips berguna daripada pelakon siri televisyen Desperate Housewife, Eva Longoria ketika bertemu dalam parti koktel Karl Lagerfeld x L'Oreal Paris baru-baru ini.
Malah, sepanjang keberadaannya di sana, Anzalna turut memuat naik beberapa keping foto bersama selebriti terkenal antarabangsa seperti Aishwarya Rai dan Camilla Cabello.
Must-Watch Video