TERKINI
Tiga Beradik Mahu Bunuh Ibu Gara-Gara Wi-Fi Ditutup
Tiga beradik remaja di Texas, Amerika Syarikat (AS) ditahan selepas didakwa merancang untuk membunuh ibu mereka hanya kerana wanita itu mematikan sambungan Wi-Fi di rumah mereka.
Menurut pejabat Syerif Harris County, kejadian mengejutkan itu berlaku di Houston pada malam Ahad lalu.
Difahamkan, ketiga-tiga remaja perempuan berusia 14, 15, dan 16 tahun itu bertindak agresif dengan mengambil pisau dapur sebelum mengejar ibu mereka hingga ke luar rumah dalam usaha untuk menikamnya.
Lebih mengejutkan, salah seorang daripada mereka turut menggunakan batu-bata untuk menyerang ibunya.
Nenek mereka yang cuba campur tangan bagi melindungi ibu mereka turut ditolak hingga jatuh, namun kedua-dua wanita itu tidak mengalami kecederaan serius.
Ketiga-tiga remaja itu kini ditahan dan didakwa atas kesalahan serangan terancang dengan senjata berbahaya. Mereka telah dihantar ke pusat tahanan juvana di Harris County untuk tindakan lanjut.
Kes ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat mengenai ketagihan internet dalam kalangan remaja dan bagaimana ia boleh mencetuskan tindakan agresif yang di luar jangkaan.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video