BERITA
Tiga Gajah Naik Minyak, Pijak Vios Selepas Kenderaan Belakang Bunyikan Hon - Polis
Kejadian gajah mengamuk sehingga merosakkan kenderaan pengguna jalan raya dekat Sungai Lebey berhampiran Tugu Peringatan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, malam tadi dikatakan berlaku apabila mangsa mendakwa terdapat bunyi hon kenderaan lain.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata aduan kejadian serangan gajah yang berlaku sekitar jam 8.15 malam tadi di KM11 JRTB Gerik-Jeli itu, diterima pihaknya jam 11.36 malam tadi daripada seorang lelaki berusia 39 tahun.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Vios memberhentikan kenderaannya apabila mendapati sekumpulan gajah sedang melintas jalan sebelum hon dibunyikan oleh kenderaan yang berada di belakang.
Pemandu kereta tidak cedera kerana sempat menyelamatkan diri apabila sempat keluar.
"Pengadu (mangsa) memberhentikan kereta dan mematikan lampu, serta terdengar bunyi hon kenderaan dari arah belakang sebelum tiga ekor gajah tiba-tiba menghampiri kereta.
"Pemandu dalam keadaan panik kemudian keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri. Sesudah kawanan gajah terbabit beredar, pengadu hadir ke balai polis untuk membuat aduan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat serangan gajah berkenaan, kereta pengadu rosak pada bahagian hadapan dan belakang selain pada sisi kanan dan kiri.
Zulkifli menasihati pengguna jalan agar lebih berhati-hati dan mematuhi nasihat pihak berkuasa antaranya agar tidak membunyikan hon atau menggunakan lampu tinggi serta mengambil langkah-langkah keselamatan yang lain apabila berhadapan gajah.
Sumber: Berita Harian