BERITA

Tiga Maut, Pasangan Suami Isteri Hilang Bot Terbalik Di Klang

Gempak 07/06/2025 | 08:55 MYT
Tiga individu termasuk seorang kanak-kanak maut, manakala sepasang suami isteri dilaporkan hilang apabila bot yang dinaiki mereka terbalik dalam kejadian di perairan Tanjung Harapan di sini pada Jumaat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, operasi kini sedang giat dijalankan bagi mengesan pasangan suami isteri yang masih hilang itu.

“Kedua-dua individu dikenali sebagai Gan Hon Tat, 32, dan isterinya Careen Man, 29, masing-masing berasal dari Klang Utama.

“Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat dua mangsa terbabit sedang giat dijalankan,” katanya pada Sabtu.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan pada jam 5.16 petang oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru selepas menerima maklumat mengenai kejadian terbabit.

“Operasi digerakkan segera dengan penyertaan aset Maritim Malaysia dan dibantu agensi sahabat seperti Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta sokongan daripada bot penumpang berhampiran lokasi.

“Bot yang terbalik telah berjaya ditunda ke jeti terapung Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 0.3 batu nautika dari arah barat Tanjung Harapan itu, tiga mangsa ditemui maut iaitu Darren Gan, 3, anak kepada pasangan yang hilang, serta Cheu Son Hin, 50, masing-masing ditemukan di ruang hadapan bot.

“Turut terkorban ialah Fong Yong Sen, 29, rakan kepada pasangan berkenaan yang turut ditemukan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, seorang lagi mangsa iaitu Chang Yan Qin Alvin, 17, terselamat,” katanya.

Abdul Muhaimin berkata, pihak bomba akan melakukan kerja-kerja penyelaman kerana terdapat kemungkinan kedua-dua mangsa masih berada di dalam bot yang sebahagiannya dipenuhi lumpur.

“Bagi menyelaras gerakan dan logistik operasi, Pangkalan Hadapan Mencari dan Menyelamat telah ditubuhkan di Pejabat Maritim Negeri Selangor.

“Sementara itu, Maritim Malaysia Selangor mengingatkan orang awam supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut.

“Penggunaan jaket keselamatan, pemantauan keadaan cuaca semasa, dan kecekapan dalam mengendalikan bot adalah antara perkara asas yang wajib diberi perhatian serius,” katanya.

Sumber: Sinar Harian