Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Berita

Tiga Persatuan Hiburan Serah Usul Calon Pengerusi FINAS Baru

Elrafaei Sapi 05/11/2018 | 13:52 MYT
Isu siapa yang bakal dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) yang baru terus menarik perhatian ramai penggiat seni hiburan termasuk tiga persatuan hiburan menyatakan pendirian sama mencalonkan seorang tokoh media berpengaruh sebagai calon yang layak.
Usul tersebut dicadangkan Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) bersama Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM).
Satu perjumpaan diadakan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini untuk menyerahkan surat usul berkenaan kepada Menteri KKMM, Gobind Singh Deo.
Hadir sama pada sesi perjumpaan tersebut adalah Presiden FDAM, Othman Hafsham bersama pengarah filem terkenal, U-Wei Saari, Presiden PKAVM, Rahim Jailani dan Timbalan Presiden PROFIMA, Kamil Khan.
Bagaimanapun, surat usul itu diserahkan kepada wakil Menteri kerana Gobind sedang bercuti.
Difahamkan, surat usul itu mencadangkan Tan Sri Johan Jaafar sebagai calon yang layak berdasarkan pengalaman luas beliau dalam bidang kewartawanan dan media di negara ini selain dikenali sebagai aktivis seni.
Sumber memberitahu cadangan itu tidak bermaksud membantah nama calon-calon lain yang disenarai pendek sebelum ini iaitu pensyarah sambilan filem dan penyiaran, Zaki Abdul Rahim, Hassan Abd Muthalib, pelakon Sharifah Amani dan Datuk Hans Isaac.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
#FINAS #PROFIMA #Johan Jaafar
;