Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Laman Utama

Tiga Versi Lagu Kendati Trending, Amylea: "Saya Rasa Ini Bukan Cup of Tea Malaysia"

Asraf Aided 26/02/2021 | 15:20 MYT
Selepas dilancarkan secara rasmi pada 31 Januari lalu, lagu Kendati nyanyian dan ciptaan sepenuhnya Amylea Azizan terus diminati dan menjadi siulan pencinta muzik tempatan.
Lebih membanggakan, video lirik Kendati berada di kedudukan carta trending YouTube selama lebih tiga minggu. Video lirik itu juga berjaya mencecah 1 juta tontonan dalam tempoh tiga minggu.
Malah, siapa sangka lagu Kendati versi Piano Unplugged yang ditayangkan di saluran YouTube Seventeen Eleven Music pada 15 Februari lalu turut berada di carta trending.
Bukan dua, tapi tiga versi lagu Kendati berjaya mencuri perhatian termasuk yang terbaru Kendati versi lelaki gitar akustik yang dinyanyikan oleh Rian Shain yang kini berada di kedudukan 35 carta trending YouTube sejak dimuat naik pada 19 Februari lalu.
Menurut Amylea, kesemua versi yang trending itu membuatkan dirinya hilang kata-kata.
“Video lirik lagu ini selepas dua hari dilancarkan di YouTube trending sampai tiga mingggu berturut-tutut walaupun kedudukan turun naik.
"Tapi, paling tinggi nombor sembilan dan ia satu pencapaian membanggakan buat saya. Mungkin orang lain sudah biasa, tapi bagi saya ia luar biasa.
“Apatah lagi, versi piano unplugged juga trending. Saya berasa lagi luar biasa sebab kebiasaannya versi ini seperti cover version. Jadi, tidaklah orang terlalu nak menonton video seperti ini.
"Untuk trending dalam masa sama, ia sangat magik. Saya berasa ini satu perkara yang Allah bagi cukup besar nikmatnya. Memang bersyukur sangat, perkara ini di luar jangkaan saya.
“Saya terdiam dan terduduk apabila lancarkan pula versi lelaki, ketiga-tiga versi trending pada masa yang sama. Saya berasa kaku dan tak terkata, ramai mesej sampai tidak tahu nak balas yang mana dulu. Malah, berasa seperti kena serangan panik pun ada sebab kaki dan tangan tiba-tiba rasa kebas. Rasa sangat tak percaya dan di luar jangkaan,” katanya.
Pada masa yang sama, Amylea juga mengakui bangga dan gembira apabila lagu Kendati itu semakin diterima baik.
“Saya berasa lagu ini bukan seperti cup of tea Malaysia atau cita rasa peminat Malaysia, tak pernah pun saya menjangkakan sambutan begini. Selalunya orang tak berapa minat lagu macam ini. Jadi, saya bangga dan gembira peminat muzik Malaysia sudah mula beri peluang dan buka mata lagu berentak balada seperti ini.
“Mereka sudah ‘masuk’ dan menjiwai muzik yang berbeza sikit walaupun dalam kategori balada. Sekali gus memberi lebih banyak warna dalam industri muzik tanah air dan memberi semangat.
“Bagi yang selalu menghasilkan lagu genre balada, ini juga memberi suntikan semangat untuk mereka mencuba bunyi balada yang lain sebab peminat kita sudah merima kepelbagaian muzik dalam sesebuah genre itu,” katanya lagi.
#Trending #Amylea #Kendati
;