Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Laman Utama

Tiga Zon Aman Jaya Di Kedah Kena PKPD Tengah Malam Ini, Restoran & Kedai Makan Hanya Boleh Take Away

Fiza Kamarudin 27/08/2020 | 14:50 MYT

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran akan dilaksanakan di Aman Jaya, Kedah berkuat kuasa tengah malam ini.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD Secara Pentadbiran itu diputuskan hasil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP.

"PKPD Secara Pentadbiran ini berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam, 28 Ogos 2020 sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan membabitkan tiga zon di Aman Jaya, iaitu Kenanga, Mawar dan Melur.

"PKPD Secara Pentadbiran ini membabitkan 22,360 isi rumah merangkumi 265 rumah dan kesemua akan disaring oleh petugas KKM.

"Penduduk di zon terbabit tidak dibenarkan untuk keluar zon manakala orang luar tidak dibenarkan untuk memasuki zon terbabit," katanya.

Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan sekatan jalan raya serta kawalan di jalan keluar masuk terbabit.

Katanya, penutupan tempat awam seperti masjid dan rumah ibadat serta sekolah termasuk TASKA diarahkan tutup sepanjang tempoh PKPD Secara Pentadbiran.

Beliau berkata, yang dibenarkan beroperasi ialah premis perniagaan menyediakan perkhidmatan perlu sahaja seperti kedai makan, kedai runcit, warung, stesen minyak, kedai runcit, farmasi, klinik dan hospital.

"Restoran dan kedai makan hanya boleh menggunakan kaedah take away (bungkus) dan hanya boleh beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

"Klinik dan hospital dibenarkan beroperasi 24 jam, manakala waktu operasi farmasi dan kedai menjual ubat dibenarkan hingga 8 malam sahaja.

"Stesen minyak dan kedai runcit boleh beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam," katanya.

Mengenai premis dilarang semasa tempoh berkenaan, Ismail Sabri menegaskan premis lain termasuk kilang adalah dilarang beroperasi.

Selain itu, katanya, operasi pasar malam dan pasar tani juga tidak dibenarkan namun operasi pasar harian sahaja dibenarkan bermula jam 6 pagi hingga 2 petang.

Selain itu, beliau berkata, individu yang perlu keluar untuk bekerja tidak dibenarkan keluar dari kawasan berkenaan sepanjang tempoh PKPD Secara Pentadbiran.

"Majikan mereka diminta untuk mengambil maklum perintah ini dan membenarkan mereka yang terbabit untuk bekerja dari rumah.

"Hanya ketua keluarga atau seorang dari satu keluarga sahaja dibenarkan untuk keluar bagi tujuan pembelian barang makan atau keperluan keluarga.

"Bagaimanapun bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan untuk keluar zon tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu," katanya.

Sumber: BH Online

Foto: Freemalaysiatoday

#COVID-19 #PKPD #Aman Jaya
;