Rentetan daripada isu kehabisan tiket Konsert Orkestra Simfoni Bersama Misha Omar baru-baru ini, pihak penganjur iaitu Istana Budaya meletakkan syarat maksimum empat tiket sahaja kepada setiap pembeli.

Timbalan Ketua Pengarah Artistik Istana Budaya, Zaifri Husin menjelaskan, keputusan tersebut dibuat bagi memberi laluan kepada lebih ramai peminat untuk mendapatkan tiket program-program anjuran Istana Budaya pada masa akan datang.

"Selepas berbincang dengan pihak pemasaran Istana Budaya, kami mengambil keputusan untuk mengehadkan penjualan empat tiket sahaja kepada setiap pelanggan.

"Hal ini kerana, kami ingin memberi peluang kepada lebih ramai penonton untuk membeli dan menikmati persembahan yang dibawakan Istana Budaya pada tahun ini," katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Patriotik Tanah Airku di Selasar Pualam, Istana Budaya, Kuala Lumpur petang tadi.



Konsert Patriotik Tanah Airku bakal menampilkan persembahan penyanyi Syamel, Ernie Zakri, Aina Abdul, Fitri Hiswady, dan Hairi Safwan yang bakal berlangsung pada 6 November di Panggung Sari, Istana Budaya.

Tambah Zaifri, pihak Istana Budaya juga ingin memohon maaf atas insiden yang berlaku dan sedang dalam persiapan untuk membangunkan sistem penjualan tiket secara dalam talian menjelang awal tahun depan.

"Kami ingin memohon maaf kepada penonton dan peminat yang datang membeli tiket secara tunai semalam. Saya sendiri nampak orang beratur panjang di luar Istana Budaya dan meminta untuk mereka masuk ke dalam kerana cuaca yang panas dan hujan semalam.

"Kami cakna mengenai isu yang berlaku semalam dan Istana Budaya kini sedang dalam proses ke arah pendigitalan yang dijangka dilaksanakan awal tahun depan.

"Sebenarnya usaha ke arah pendigitalan ini sudah dimulakan sejak Jun lalu, tapi disebabkan proses untuk menyiapkan mengambil masa yang panjang jadi kami tidak dapat laksanakan pada tahun ini," katanya.

Semalam, isu penjualan tiket Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan Malaysia Bersama Bintang Misha Omar menjadi bualan hangat di media sosial apabila ramai pembeli tidak berjaya membeli tiket di kaunter yang dibuka di Istana Budaya.

Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan Malaysia Bersama Bintang Misha Omar akan berlangsung di Istana Budaya pada 30 Oktober ini.

Menurut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, kapasiti penonton dikecilkan kepada 735 daripada kapasiti penuh iaitu 1,400 tempat duduk.