Hanya selepas beberapa jam penjualan tiket Rockmantic Night Judika & The Gang dibuka, pihak penganjur Alha Alfa bersama Kharisma Music & DAD Entertainment menerima tempahan yang cukup memberangsangkan.

Tiket Judika ‘laku keras’ sehingga ada yang meminta jika konsert yang dijadual berlangsung pada 21 Oktober di Axiata Arena tersebut dijadikan dua malam.

Bertanya secara langsung kepada Judika, penyanyi kelahiran Sumatera Barat tersebut tanpa berselindung mengaku hanya mempersiapkan diri untuk konsert satu malam sahaja.

Justeru dia dan pihak pengurusan perlu berbincang dan mempertimbangkan semula jika perlu melanjutkan konsert menjadi dua malam.

“Saya mempersiapkan diri untuk sehari konsert. Jika ada hari kedua, saya perlukan strategi baharu.

“Ini kerana semua lagu-lagu saya bernada tinggi dan ini juga konsert pertama saya bersama geng lain jadi saya pasti akan melakukan yang paling baik di sini.

“Tapi nanti jika saya bilang ‘okay dua hari’, itu bermaksud saya sudah siap untuk melakukannya,” kata Judika sewaktu ditemui pada sidang media Rockmantic Night Judika & The Gang di Pavilion Kuala Lumpur.

Sementara itu Judika menjanjikan konsert yang bakal dipimpin oleh pengarah muzik tersohor Indonesia, Tohpati tersebut akan menjadi momen manis buat semua yang hadir.

Hal itu juga diakui oleh salah seorang penyanyi yang akan berkongsi pentas dengan Judika iaitu Haqiem Rusli.

Penyanyi tersebut mengaku menyanyi sepanggung dengan Judika adalah impiannya dan sudah pasti dia akan melakukan yang terbaik pada konsert itu.

“Saya sangat mengagumi Judika jadi sewaktu dapat tawaran saya beritahu pengurus terus on dan ketepikan tawaran lain. Jadi sudah pasti saya akan berikan yang terbaik,” katanya.

Bagi Marsha Milan yang juga pertama kali berganding dengan Judika, penyanyi dengan vokal padu tersebut mengaku sangat teruja.

“Sebab ini adalah antara momen tergempak dalam sejarah hidup saya (konsert dengan Judika and the Gang).

“Jadi persiapan mental sangat penting,” katanya.

Belum mahu membocorkan tentang pemilihan lagu, mereka bagaimanapun akan menghiburkan sekitar 12,000 peminat sekitar 2 jam menerusi segmen solo dan duet.

Pembelian tiket boleh dilakukan menerusi www.ticket2u.com.my/judika.